Rai wanita dalam bidang teknologi

Rai wanita dalam bidang teknologi

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Mac – Google Developers Group (GDG) Brunei Darussalam dengan kerjasama Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Brunei Darussalam (AITI) dan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Brunei (BruCERT), hari ini, telah mengadakan acara global untuk wanita dalam teknologi dikenali sebagai ‘Women Techmakers’ bersempena Hari Wanita Antarabangsa.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya merasmikan acara pada majlis yang berlangsung di iCentre, Anggerek Desa, pagi tadi, ialah Pemangku Pengarah Pusat Kebangsaan E-Kerajaan (EGNC), Jabatan Perdana Menteri, Dayang Mazriyani binti Haji Abdul Ghani.

Dalam ucapannya pada majlis itu, Dayang Mazriyani berkata bahawa kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sentiasa menyokong para pemimpin wanita dalam bidang IT sama ada di sektor kerajaan mahupun sektor swasta.

Ini, katanya, menunjukkan bahawa kemahiran-kemahiran kepimpinan wanita dalam bidang teknologi adalah sangat dihargai dan dipandang tinggi dalam sama-sama membangun Negara Brunei Darussalam.

Beliau turut menyatakan harapan, melalui majlis ini dan dengan adanya platform Women Techmakers akan dapat meningkatkan lagi jumlah wanita dalam menerokai bidang IT di negara ini untuk menjadi pemaju masa depan dan pereka teknologi.

Tetamu kehormat semasa menyampaikan ucapan dan seterusnya merasmikan acara berkenaan.
Tetamu kehormat semasa menyampaikan ucapan dan seterusnya merasmikan acara berkenaan.
Antara yang hadir pada acara itu.
Antara yang hadir pada acara itu.

Majlis sehari yang disertai oleh lebih 50 orang peserta dari sekolah-sekolah, universiti dan institusi pengajian tinggi tempatan itu diisi dengan taklimat berkaitan dengan teknologi, sesi kongsi sama dan ‘codelab’.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan taklimat bertajuk ‘Kesedaran Keselamatan Siber’ yang telah disampaikan oleh Penganalisis Keselamatan, Pegawai Operasi, BruCERT, Dayang Nomi Hafiz Zakiah binti Haji Pawi.

Beliau dalam ceramahnya, menyentuh mengenai peranan BruCERT yang termasuk untuk menyebarkan kesedaran mengenai keselamatan Internet dan kepentingan keselamatan maklumat kepada orang ramai.

BruCERT juga membentangkan beberapa kes kajian di bawah Akta Penyalahgunaan Komputer Brunei, pemangsa media sosial dan ‘The Do’s and Don’t’ semasa dalam talian, serta menayangkan beberapa video kesedaran awam.

Para peserta turut mendengarkan taklimat mengenai ‘Rise and Shine: Entrepreneurial leadership for the Women in Technology’ yang disampaikan oleh Dr Hajah Mona Yati binti DSLJ Haji Mohd Kassim seterusnya taklimat mengenai BICTA 2016 daripada AITI dan sesi kongsi sama bersama wakil Itsybytes daripada Dayang Ikmalina dengan tajuknya ‘Perjalanan ke Kejayaan’.

Di samping itu, para peserta diberikan peluang untuk mencuba Google VR Cardboard dan Codelab. Menurut kenyataan yang dikeluarkan, Women Techmakers merupakan jenama dan program global Google bagi wanita dalam bidang teknologi, yang menyediakan penglihatan, komuniti, dan sumber-sumber kepada para wanita untuk memacu inovasi dan penglibatan dalam bidang itu.

Women Techmakers direka untuk mempromosikan persekitaran keterangkuman bagi wanita dalam bidang teknologi, serta meraikan pemimpin-pemimpin wanita dalam industri berkenaan.

Tema tahun ini ialah ‘Our Time To Lead’ dan acara ini akan menggalakkan para wanita menyertai, mempelajari dan mendalami mengenai teknologi Google, dengan mengetengahkan penceramah dan pemimpin industri wanita serta memberikan kandungan yang memenuhi keperluan wanita dalam teknologi di Negara Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA