Raih ganjaran Ramadan

Raih ganjaran Ramadan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Jun – Dalam ibadat puasa, umat Islam digalakkan mengamalkan perkara-perkara sunat antaranya ialah bersahur di mana di dalamnya terdapat keutamaan dan keberkatan tersendiri.

Untuk itu, umat Islam disarankan untuk tidak meninggalkan bersahur walaupun hanya sempat minum seteguk air, kerana adalah afdal mengakhirkan waktu bersahur dengan anggaran membaca 50 ayat Al-Quran antara waktu bersahur dan azan Subuh dilaungkan.

Khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini menekankan perkara itu dan seterusnya menjelaskan, permulaan Ramadan adalah penuh rahmat, pertengahannya pengampunan dan penghujungnya terlepas daripada api neraka.

Menurut khatib lagi, sebagai umat Islam, kita perlu menyambut Ramadan dengan penuh rasa syukur dan gembira kerana peluang melipatgandakan amalan dan ibadat dalam bulan yang dijanjikan pahala berganda oleh Allah S.W.T.

“Puasa adalah ibadat yang istimewa di sisi Allah kerana ganjaran dan balasan orang yang berpuasa dinilai sendiri oleh Allah S.W.T,” katanya.

Khatib juga menjelaskan, kita dituntut untuk mening-katkan amal ibadat terutama di bulan ini dengan memperbanyakkan istighfar, bertaubat, sembahyang sunat, bersedekah, berzikir dan membaca Al-Quran di mana ini juga termasuk melatih diri untuk sembahyang berjemaah di masjid.

“Jika kita sembahyang berjemaah di luar bulan Ramadan sudah digandakan sebanyak 27 kali ganda apa tah lagi pada bulan Ramadan.

“Begitu juga pada amalan bersedekah di mana pada lazimnya ganjarannya berganda seperti yang di-sebut dalam Al-Quran,” katanya.

Di samping bersedekah, digalakkan juga memperbanyakkan doa kerana doa orang yang berpuasa terutama semasa waktu berbuka adalah sangat mustajab.

Khatib juga menekankan adalah sunat menyegerakan waktu berbuka dan jangan berlebih-lebihan makan semasa berbuka hingga perut terlalu kenyang dan gagal menahan nafsu semasa berbuka.

“Jika ini yang kita jadikan amalan, akan hilanglah konsep berpuasa yang melatih individu untuk mengawal diri daripada berlebih-lebihan kerana berlebih-lebihan itu merupakan satu pembaziran yang amat dibenci oleh Allah S.W.T,” tegasnya.

Melatih puasa itu, tambah khatib bukan saja untuk menjaga kewajipan lahiriah tetapi wajib menjaga batiniah di mana antara kewajipan batiniah yang perlu dijaga ialah menjaga mata daripada memandang perkara yang dilarang oleh Islam dan yang boleh mengganggu hati serta melalaikan diri dari mengingati Allah S.W.T.

Memelihara lidah dari berkata-kata kosong, berbohong, mengumpat, memfitnah, meng-ucapkan kata-kata angkuh, ta’ajjub, riak atau apa pun yang boleh menimbulkan permusuhan.

Sementara yang ketiga, menjaga telinga daripada hal yang dilarang dan dibenci oleh Allah kerana setiap apa yang haram diucapkan, haram juga didengarkan.

“Keempat memelihara seluruh anggota tubuh badan yang lain daripada membuat dosa dan segala perkara yang dibenci dan menahan perut daripada berbuka dengan makanan yang syubhah kerana apa guna berpuasa menahan lapar dan dahaga kemudian berbuka dengan makanan yang haram,” tambahnya.

ARTIKEL YANG SAMA