Raih manfaat industri halal

Raih manfaat industri halal

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Ogos –Brunei boleh meraih manfaat daripada Industri Halalan Tayyiban yang bukan sahaja menarik penduduk Islam global seramai 1.8 bilion, malah kualiti dan etika pemprosesan produk halal menjadikannya mendapat perhatian bukan sahaja daripada orang Islam, malahan bukan Islam juga.

Gabungan makanan yang semula jadi, sihat dan halal, ia memberikan faedah kepada Muslim dan bukan Muslim.

Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kol (B) Dato Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Yasmin bin Haji Umar menekankan perkara itu ketika berucap merasmikan Seminar Antarabangsa Produk dan Perkhidmatan Halalan Tayyiban (SAPPHAT) Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dengan kerjasama Bahagian Pembangunan Industri Halal Global, Jabatan Tenaga dan Perindustrian, yang berlangsung di Dewan Auditorium, UNISSA, Gadong hari ini.

Menurut Yang Berhormat Pehin lagi, “Orang ramai betul-betul mengambil berat mengenai kualiti kehidupan, kesihatan, pemakanan dan keselamatan. Jadi tidak mengejutkan kini kita melihat bahawa nilai pasaran bagi makanan organik global dijangka mencapai $161 bilion menjelang 2018 dengan kompaun kadar pertumbuhan tahunan 15 peratus.”

Menerusi nilai-nilai yang dikongsi antara sektor organik dan sektor makanan halal inilah Yang Berhormat Pehin berkata Brunei dapat memanfaatkannya selaras dengan sejarah, budaya Islam, tamadun dan kedaulatan undang-undangnya.

Yang Berhormat Pehin Haji Mohd Yasmin semasa berucap di seminar itu.
Yang Berhormat Pehin Haji Mohd Yasmin semasa berucap di seminar itu.

Beliau memberi contoh mengenai pasaran bagi makanan dan minuman Muslim di Amerika Syarikat yang menurutnya bernilai AS$13 bilion, sementara pasaran makanan organik AS bernilai AS$35 bilion.

“Dalam erti kata lain, jika kita mahu menyebarkan konsep produk-produk dan perkhidmatan Halalan Tayyiban, kita perlu meletakkan jenama halal kita di pasaran premium yang menarik pelanggan daripada pelbagai kebudayaan dan fahaman, bukan sahaja pelanggan Muslim.”

Yang Berhormat Pehin turut memetik laporan Thomas Reuters, yang katanya nilai Industri Halal Global pada masa ini dianggarkan pada AS$$2.4 trilion pada 2014, sektor makanan halal menyumbang kira-kira AS$1.37 trilion, sektor kosmetik halal dengan AS$46 bilion dan sektor farmaseutikal HALAL bernilai AS$72 bilion.

“Justeru itu, terdapat peluang-peluang besar dan akan terdapat sebilangan peluang yang akan memilih halal, sementara sebilangan lagi memilih Halalan Tayyiban yang lebih premium,” ujar beliau.

Beliau seterusnya mencadangkan bagaimana kita dapat merangka strategi industri halal kita secara global.

“Dengan berbalik kepada konsepnya, strategi untuk memasarkan produk di samping ia halal, dengan itu diiktiraf berperikemanusiaan, ia juga perlu dijual sebagai produk semula jadi, organik, bukan GMO (organisma yang diubahsuai secara genetik) dan bebas gluten contohnya.”

Menurut beliau lagi, sebab itulah apabila bercakap mengenai halal, kita perlu bercakap dalam bahasa yang betul, kita perlu bercakap mengenai nilai-nilai etika alam sekitar yang sihat selaras dengan falsafah Halalan Tayyiban.

Antara pembentang dan orang ramai yang menghadiri seminar itu.
Antara pembentang dan orang ramai yang menghadiri seminar itu.

Beliau turut menyatakan bahawa jika Strategi Industri Makanan Kebangsaan kita berjaya, sektor makanan halal dijangka menyumbang sekurang-kurangnya $5 bilion kepada KDNK Brunei Darussalam menjelang 2035 menerusi Industri Halal Global.

Pada akhir ucapannya, Yang Berhormat Pehin sekali lagi menekankan bahawa sangat penting bagi Muslim untuk berada di barisan depan pengetahuan mengenai agama kita.

“Memperkukuhkan kerja-kerja semua pihak berkepentingan setentunya akan mengukuhkan posisi Brunei Darussalam sebagai pemimpin dalam perkara-perkara Halalan Tayyiban.”

Oleh itu, beliau berharap seminar berkenaan akan berjaya dalam menyebarkan pengetahuan dan meluaskan batasan kita kepada kemungkinan-kemungkinan yang boleh ditawarkan Industri Halalan Tayyiban.

Pada majlis itu, Yang Berhormat Pehin turut menyempurnakan pelancaran buku garis pandu dan standard bagi industri halal yang terbaru iaitu ‘Brunei Guidelines for the Manufacturing and Handling of Halal Cosmetics Products’ yang diterbitkan Majlis Ugama Islam Brunei dengan kerjasama Jabatan Tenaga dan Perindustrian di JPM yang mematuhi piawaian tertinggi Halalan Tayyiban.

Manakala Dekan Fakulti Syariah dan Undang-undang UNISSA, Dr Hajah Mas Nooraini binti Haji Mohiddin dalam ucapan alu-aluan mengatakan seminar akan mengupas dengan lebih mendalam lagi isu yang berkaitan sesuai tema, ‘Merentasi Sempadan dan Menangani Cabaran Dalam Industri Halalan Tayyiban Semasa.’

Seramai 25 pembentang akan mengupas isu itu terdiri daripada peserta dari Brunei, Malaysia, Indonesia dan Algeria, menurutnya.

ARTIKEL YANG SAMA