Raih manfaat teknologi baru

Raih manfaat teknologi baru

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Jan – Perisian dan teknologi berkembang dengan pantas dan pesat sekali di mana teknologi baru akan diperkenalkan setiap beberapa bulan.

Oleh itu, adalah amat penting bagi para pengguna teknologi atau perisian komputer untuk mengetahui mengenai perkembangan terkini serta teknologi baru yang diperkenalkan khususnya yang dihasilkan oleh Microsoft.

Sehubungan dengan itu, Microsoft dan Concepts Technologies mengadakan Seminar Refresh Set Go! yang diadakan di Dewan Brilliance, cawangan Concepts Computer, Kiulap, hari ini.

Kira-kira 50 orang wakil rakan kongsi Concepts Technologies menghadiri seminar itu, di mana mereka berpeluang untuk mengenali dengan lebih dekat mengenai ciri-ciri dan manfaat daripada penggunaan perisian mudah alih terkini yang dihasilkan oleh Microsoft.

Antara wakil rakan kongsi Concepts Technologies yang menghadiri seminar itu.
Antara wakil rakan kongsi Concepts Technologies yang menghadiri seminar itu.
Joneil Joseph memberikan penerangan kepada para peserta seminar.
Joneil Joseph memberikan penerangan kepada para peserta seminar.

Seminar sehari itu menyaksikan ceramah ringkas yang disampaikan oleh Ketua Perusahaan Kecil dan Sederhana Microsoft Brunei, Awang Danial Azizan Abdullah dan Pakar Pelesenan Perisian Concept Technologies, Joneil Joseph yang memberikan penerangan mengenai ciri-ciri perisian mudah alih dan bagaimana perisian itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para pengguna dalam memudahkan lagi tugasan harian mereka.

Pengurus Pengedaran Perisian Concepts Technologies, Ardoni Siregar berkata, seminar itu merupakan sebahagian daripada siri Boot Camp yang diadakan bagi rakan-rakan kongsi mereka untuk memberikan penerangan mengenai perkembangan terkini dalam bidang teknologi dan perisian komputer khususnya yang dihasilkan oleh Microsoft.

Siri ceramah boot camp itu, jelasnya lagi, akan dikendalikan oleh pakar-pakar dari Microsoft yang diundang khas untuk mengongsi pengalaman dan ilmu pengetahuan mereka supaya para pengguna akan lebih memahami ciri-ciri perisian serta cara untuk memanfaatkannya.

Beliau menambah bahawa selain siri boot camp yang diadakan setiap empat bulan, Concepts Technologies dan Microsoft Brunei juga mengadakan ceramah berskala kecil setiap bulan untuk memberikan penerangan dan mendedahkan lagi para rakan kongsi mereka mengenai produk-produk terbaru dan perkembangan terkini teknologi.

Usaha itu, ujar beliau, merupakan sebahagian daripada strategi berterusan Concepts Technologies dan Microsoft untuk memberikan pendedahan kepada rakan-rakan kongsi mereka mengenai perkembangan teknologi Microsoft dan bagaimana ia boleh dimanfaatkan oleh syarikat atau perniagaan mereka.

ARTIKEL YANG SAMA