Raih peluang beribadah dalam bulan Ramadan

Raih peluang beribadah dalam bulan Ramadan

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 19 Jun – Bulan Ramadan merupakan bulan yang penuh keberkatan, mempunyai pelbagai hikmah dan bulan keampunan bagi umat Islam kerana seseorang yang melakukan amal ibadah yang baik akan dilimpahi pahala yang berlipat kali ganda.

Demikian antara inti pati ceramah ‘Meraih Keberkatan Ramadan’ yang disampaikan oleh penceramah dari Jabatan Hal Ehwal Masjid, Haji Suhaimi bin Haji Mohd Noor di Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel, Mukim Kiudang baru-baru ini.

Dalam ceramahnya, beliau menjelaskan bahawa untuk meraih keberkatan dalam bulan mulia ini, umat Islam perlulah merebut dan melipat gandakan pahala mereka terutama di sepuluh malam terakhir bulan Ramadan serta memperbanyakkan membaca Al-Quran.

Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid dan para jemaah Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel Mukim Kiudang bergambar ramai selepas majlis itu.
Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid dan para jemaah Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel Mukim Kiudang bergambar ramai selepas majlis itu.

Beliau juga melarang untuk berbuka puasa dengan bermacam-macam juadah kerana ditakuti tidak dapat dihabiskan semuanya dan menyebabkan pembaziran.

Kira-kira 100 orang jemaah yang terdiri daripada ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Masjid dan jemaah Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel hadir mendengarkan ceramah tersebut.

Turut hadir ialah Ketua Kampung Pengkalan Mau, Haji Taib bin Haji Jaludin selaku Pemangku Penghulu Mukim Kiudang bersama Dato Paduka Haji Mohd Aziyan bin Abdullah.

ARTIKEL YANG SAMA