Raih perak di Thailand

Raih perak di Thailand

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Nov – Pasukan Kebangsaan Sukan Petanque Brunei Darussalam berjaya meraih pingat perak dalam Kejohanan Antarabangsa 10th Pan Pacific International Petanque Championship 2016 Nations Cup di Krabi, Thailand, baru-baru ini.

Kejayaan itu dicapai setelah pasukan negara mara ke perlawanan akhir di mana mereka bertemu pasukan Malaysia dalam acara Triple namun terpaksa akur di tangan lawan apabila tewas dengan mata 5-13.

Dalam laluan ke perlawanan akhir, pasukan negara yang diwakili oleh Pasukan Triple Lelaki, Awang Mazlan bin Haji Yahya, Awang Wirna bin Haji Mohd Yassin dan Awang Hamidun bin Haji Abdul Hamid menewaskan pasukan Jepun dengan mata kemenangan 13-2.

Pada peringkat suku akhir, pasukan negara kemudian menewaskan New Zealand dengan mata 13-4 dan pada peringkat separuh akhir bertemu Pasukan Chinese Taipei di mana pasukan negara menang dengan mata kemenangan 13-6.

Para peserta negara ketika menerima hadiah di tempat kedua pada kejohanan tersebut. – Gambar PKSPBD
Para peserta negara ketika menerima hadiah di tempat kedua pada kejohanan tersebut. – Gambar PKSPBD

Walaupun gagal memenangi pingat emas, pasukan negara menunjukkan prestasi permainan yang cemerlang apabila mampu menewaskan saingan yang kuat seperti pasukan Chinese Taipei dan New Zealand.

Kejohanan tersebut disertai oleh lapan negara iaitu Australia, Chinese Taipei, Jepun, Malaysia, Mongolia, New Zealand, Singapura dan Negara Brunei Darussalam dan sebanyak 16 pasukan bertanding di mana Persatuan Petanque Brunei Darussalam menghantar dua pasukan yang diketuai oleh Presiden Persekutuan Petanque Brunei Darussalam, Awang Abdul Ghani bin Dato Paduka Haji Mohd dan Awang Junaidi bin Haji Mohd Said selaku Pengurus Pasukan Kebangsaan.

ARTIKEL YANG SAMA