Raikan keunik...

Raikan keunikan hidangan Brunei

Oleh Sim Y. H. & Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Feb – Makanan dan minuman unik Negara Brunei Darussalam bakal disajikan serta diketengahkan bukan sahaja di restoran-restoran dan hotel-hotel di dalam negara tetapi juga di penerbangan-penerbangan serantau Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) semasa Minggu Gastronomi Brunei 2017 pada 22 hingga 26 Februari bersempena dengan Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-33.

Inisiatif terkini untuk mengetengahkan keunikan khazanah dan budaya masyarakat Brunei menerusi makanan dan minuman itu diketengahkan oleh Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong semasa Pelancaran Minggu Gastronomi Brunei 2017 yang berlangsung di Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), hari ini.

Menurut beliau, acara yang julung-julung kalinya diadakan itu merupakan inisiatif Lembaga Pelancongan Brunei dan KSSUP yang bermatlamat untuk menggalakkan restoran-restoran tempatan mempromosikan hidang-hidangan unik yang mencerminkan identiti Brunei.

Bagi Negara Brunei Darussalam, penganjuran Minggu Gastronomi Brunei bermatlamat untuk meraikan kepelbagaian cita rasa makanan Brunei dahulu dan akan datang di mana ia bukan sahaja untuk meraikan Brunei tetapi juga diharap untuk menjana kesedaran mengenai keunikan hidangan Brunei.

Selain itu juga menggalakkan lebih banyak hotel dan restoran untuk menyajikan makanan-makanan Brunei dengan cara yang lebih sofistikated, memperbaiki lagi rasanya dan untuk mengangkat penyampaian makanan-makanan Brunei supaya dihidangkan sebagai satu pengalaman makanan yang mewah atau di resepsi-resepsi yang diadakan di luar negara untuk memberikan pengalaman gastronomi Brunei yang unik kepada pengunjung di dalam dan luar Brunei.

ATAS/BAWAH: Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali menyampaikan sijil penghargaan kepada pengusaha restoran dan hotel yang menyertai Minggu Gastronomi Brunei 2017.
ATAS/BAWAH: Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali menyampaikan sijil penghargaan kepada pengusaha restoran dan hotel yang menyertai Minggu Gastronomi Brunei 2017.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali diberikan penerangan mengenai hidangan-hidangan istimewa yang akan diketengahkan semasa Minggu Gastronomi Brunei 2017.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali diberikan penerangan mengenai hidangan-hidangan istimewa yang akan diketengahkan semasa Minggu Gastronomi Brunei 2017.

Beliau berkata, salah satu acara kemuncak bagi Minggu Gastronomi Brunei adalah untuk mempromosikan Ayam Pansuh (Brunei Bamboo Chicken) sebagai hidangan makanan asli Brunei yang mengetengahkan kepelbagaian masakan Brunei serta untuk menjana kesedaran mengenai hidangan gastronomi Brunei yang luas.

Selain daripada itu, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali berkata, makanan-makanan Brunei lain yang akan diketengahkan adalah Acar Buah-Buahan, Sup Kembayau, Sup Tahai, Soto Brunei, Nasi Katok, Daging Masak Kunyit dan juga hidangan pencuci mulut iaitu Wajid, Cendol dan Selurut.

Beliau menyatakan harapan supaya masakan-masakan Brunei tidak hanya disajikan dalam menu bufet sahaja tetapi juga disajikan sebagai hidangan ala carte, kanape serta mempunyai identitinya yang tersendiri.

Oleh itu, acara seperti minggu gastronomi itu amat penting sebagai acara yang boleh mempromosikan dan meletakkan Brunei sebagai sebuah destinasi pelancongan pilihan serta menempatkan hidangan Brunei sebagai nilai tambah pelancongan.

Beliau turut mendedahkan bahawa semasa minggu gastronomi itu, pihaknya akan mengendalikan program rating di mana mereka telah mengenal pasti empat orang hakim yang mempunyai latar belakang dan pengalaman yang berbeza dalam industri perkhidmatan untuk menilai hidangan-hidangan istimewa yang disajikan oleh setiap restoran semasa minggu gastronomi berkenaan.

Hakim-hakim berkenaan, ulasnya, akan menilai hidangan-hidangan yang disajikan oleh kesemua peserta semasa minggu gastronomi berkenaan dan para pemenang akan diumumkan semasa Majlis Anugerah Industri Pelancongan yang dijadualkan berlangsung pada April nanti.

Cef Nandar Sunandar dari The Coffee Bean & Tea Leaf dengan hidangan istimewanya.
Cef Nandar Sunandar dari The Coffee Bean & Tea Leaf dengan hidangan istimewanya.
Cef Lai Kim Hin dari Restoran MyTown dengan hidangan Kolo Mi istimewa.
Cef Lai Kim Hin dari Restoran MyTown dengan hidangan Kolo Mi istimewa.
Cef Liska Tumbelaka dari Charcoal BBQ & Grill menunjukkan hidangan istimewanya.
Cef Liska Tumbelaka dari Charcoal BBQ & Grill menunjukkan hidangan istimewanya.

Yang Berhormat Dato turut menyatakan bahawa sebanyak 15 buah restoran dan hotel mengambil bahagian dalam minggu gastronomi berkenaan, di mana restoran-restoran berkenaan akan mengetengahkan hidangan istimewa mereka dengan mengetengahkan hidangan masakan Brunei sebagai tarikan utama bufet atau menu ala carte mereka.

Di samping itu, RB selaku rakan kongsi bagi acara berkenaan juga akan menyajikan hidangan-hidangan masakan Brunei semasa Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam nanti bagi penerbangan-penerbangan serantau.

Dalam menyokong usaha dan inisiatif berkenaan, beliau berkata bahawa sokongan penuh daripada semua pihak iaitu kerajaan dan swasta amat diperlukan untuk menjayakan acara berkenaan.

Pada masa yang sama, Yang Berhormat Dato juga berkata bahawa hubungan yang kukuh di antara cef tempatan dan antarabangsa yang terkenal amat diperlukan untuk membangunkan sebuah industri makanan yang inovatif dan meriah dengan meningkatkan lagi tahap kemahiran kakitangan industri makanan dan minuman.

Dalam hubungan itu, KSSUP menerusi Jabatan Pembangunan Pelancongan akan bekerjasama dengan rapat bersama-sama agensi yang relevan seperti Majlis Perancangan Sumber Manusia, institusi pendidikan, Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi untuk menyokong anak-anak tempatan yang berminat dalam industri masakan serta yang ingin untuk maju dan memperoleh pengalaman antarabangsa supaya mereka mampu mencapai pengiktirafan bertaraf dunia.