Raiyyan juara termuda Jetski Enduro

Oleh Mohamad Asyramisyanie

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Mac – Raiyyan Marsal Baharuddin yang berusia sembilan tahun mencatatkan sejarahnya tersendiri apabila berjaya menjadi pemenang termuda Cabaran Jetski Enduro 2017 Kategori ‘Stand Up’ meninggalkan barisan pelumba berpengalaman di dalam kategori itu, di hadapan kakaknya, Nur Nadiah Baharuddin yang berada di tempat kedua dan tampil di tempat ketiga ialah Mohammad Hazmin Haji Mohammad.

Sementara itu Mohd Idzam Norhaidi Haji Mashod pula tampil juara di dalam kategori Normal ‘Aspirated’ 130 di dalam kejohanan yang berlangsung di Kompleks Sukan Air Serasa, meninggalkan pencabar terdekatnya, Mohd Sofian Ismail yang berada di tempat kedua diikuti oleh Mohd Norul Zairy Mohd Tahir yang terpaksa akur di tempat ketiga.

Dalam kategori ‘Supercharged’ 300 pula dimenangi oleh Pan Kah Boon yang diberikan tentangan hebat daripada Brian Chia Wai Yuen yang akhirnya menyandang naib juara dan tampil di tempat ketiga ialah Nayan Chuchu.

Dalam kategori terakhir yang dipertandingkan iaitu ‘Normal Aspirated’ 300 pula dimenangi oleh Chu Win Kuin yang kemudiannya disusuli oleh Baharuddin Zainuddin yang menyandang tempat kedua diikuti oleh Azizi Ismail di tempat ketiga.

Tetamu kehormat ketika menyampaikan hadiah juara Kategori ‘Stand Up’ kepada Raiyan Marsal Baharuddin.
Tetamu kehormat ketika menyampaikan hadiah juara Kategori ‘Stand Up’ kepada Raiyan Marsal Baharuddin.
Bergambar ramai bersama barisan pemenang Kategori 130 (normal Aspirated).
Bergambar ramai bersama barisan pemenang Kategori 130 (normal Aspirated).

Ketika ditemui, pemenang termuda kejohanan Raiyyan Marsal menegaskan pada mulanya dia sangat gementar dan hampir tidak mahu meneruskan perlumbaan, namun dorongan dan sokongan ibu bapa serta kakaknya memberikan semangat kepadanya untuk menamatkan perlumbaan dengan jayanya.

“Gelombang adalah antara faktor yang sangat saya takutkan, namun setelah berada dalam perlumbaan, perasaan gementar berkenaan bertukar dan memberikan saya keinginan untuk menamatkan perlumbaan sebagai pemenang,” ujarnya.

Hadir selaku tetamu dan seterusnya menyampaikan hadiah adalah Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan Jabatan Belia dan Sukan, Dayang Maryam binti Ulat.