Raja Bhumibol keluar hospital, pulang ke istana

Raja Bhumibol keluar hospital, pulang ke istana

BANGKOK, 10 Mei (AFP) – Raja Thailand Bhumibol Adulyadej hari ini meninggalkan sebuah hospital di Bangkok di mana beliau telah berpulih sejak Oktober, tatkala beratus orang memberi sorakan dalam perjalanan beliau.

Raja berusia 87 tahun itu, raja berperlembagaan paling tua di dunia, dianggap sebagai dewa oleh kebanyakan penduduk Thai dan kesihatannya menjadi isu kebimbangan awam di negara itu.

Konvoi yang membawa Bhumibol meninggalkan Hospital Siriraj menuju ke kediamannya di selatan bandar Hua Hin sejurus selepas 2 petang, dengan Ratu Sirikit, 82, dan anak perempuan Puteri Sirindhorn, 60, mengikut di belakang raja, ketiga-tiga mereka dalam kenderaan berasingan.

Beratus penduduk Thai, kebanyakannya dalam pakaian warna diraja kuning, mengibarkan bendera dan memegang gambar Bhumibol tatkala beberapa orang menjerit “Daulat Tuanku!” kata jurugambar AFP yang berada di tempat tersebut.

Bhumibol, dikenali secara formal sebagai Raja Rama IX, telah menghabiskan beberapa bulan lalu di hospital setelah menjalani satu pembedahan untuk membuang pundi hempedunya pada Oktober.

Dalam tempoh dua bulan lalu, raja berperlembagaan itu telah mengadakan dua kunjungan dari katil hospitalnya, satu pada awal Mei ke istana berhampiran dan satu pada bulan lalu untuk melihat sungai Chao Praya yang menyalir menerusi Bangkok.

Tidak ada kenyataan rasmi yang dikeluarkan mengenai kesihatan raja hari ini.

ARTIKEL YANG SAMA