Raja bijaksana, menggunakan ulama

Raja bijaksana, menggunakan ulama

Oleh Osman Abu Bakar

 

JOHOR BAHRU, 6 Mei – Raja yang arif dan bijaksana tidak akan menolak ulama tetapi menggunakan ulama. Ini merupakan hubungan istimewa raja dengan ulama, kata Mufti Kerajaan Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Menurut beliau, raja lagi hebat dan besar, lagi akan bertambah-tambah tawaduk menghargai ulama, dan bahkan, bukan sahaja ulama, hatta siapa saja yang mahu tampil memberikan pandangan atau nasihat asal sahaja pandangan atau nasihat itu semata-mata ikhlas kerana Allah dan bermotifkan akhirat.

Yang Berhormat Pehin menjelaskan demikian ketika menyampaikan Kertas Perdana di Majlis Perasmian Seminar Bicara Tokoh Antarabangsa Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama (Dr) Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Johor (PERSADA), Johor Bahru, Johor, hari ini.

Dalam Kertas Perdananya itu, Yang Berhormat Pehin turut mengimbas satu riwayat menakjubkan di mana Sayyidina Umar bin al-Khattab dengan rela hati sedia mendengar nasihat seorang perempuan tua yang menahannya ketika dia berjalan-jalan di sekitar kota Madinah dengan mengenderai tunggangan.

Menurut Yang Berhormat Pehin, raja yang adil, adalah raja yang dihormati oleh Allah, dirahmati dengan perlindungan dan pemeliharaanNya, dan juga dipanjangkan umur takhtanya.

Yang Berhormat Pehin semasa membentangkan Kertas Perdana pada Seminar Bicara Tokoh Antarabangsa di Johor Bahru, kelmarin.
Yang Berhormat Pehin semasa membentangkan Kertas Perdana pada Seminar Bicara Tokoh Antarabangsa di Johor Bahru, kelmarin.

Berbeza sebaliknya dengan raja atau penguasa yang zalim, mereka akan kempunan rahmat, tidak mendapat perlindungan dan pemeliharaan Allah, serta kerajaannya juga tidak akan bertahan lama.

“Ini bukan andaian yang sengaja dibuat-buat atau teori yang tidak berasas, bukan! Tetapi adalah fakta dan kenyataan yang benar,” tegas Yang Berhormat Pehin.

Beliau berkata, dalam sejarah berapa banyak takhta dalam dunia ini yang dialihkan dari istana ke muzium-muzium sebagai bahan budaya.

Menurut pengkaji, pada abad ke-19, jumlah takhta di dunia ini ada lebih dari 900 buah takhta, tetapi bilangan itu berkurang satu demi satu kepada 240 buah sahaja, dan pada abad ke-20 sampai ke hari ini, jumlah itu cuma tinggal 40 buah takhta sahaja.

Yang Berhormat Pehin berkata, di antara sebab runtuhnya takhta adalah berpunca dari penguasa-penguasa yang zalim dan terhasil dari “salah nasihat” oleh penasihat-penasihat istana yang tidak bertanggungjawab yang mencari keuntungan peribadi jangka pendek, termasuklah antara mereka, ialah para ulama yang bersikap bisu membatu kerana takut jawatan hilang atau dimurkai.

ARTIKEL YANG SAMA