‘Raja’ FIFA meninggal dunia

‘Raja’ FIFA meninggal dunia

RIO DE JANEIRO, 17 Ogos – Joao Havelange, bekas presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), yang terpalit skandal rasuah, meninggal dunia hari ini, pada usia 100 tahun.

Berita yang itu disahkan jurucakap Hospital Samaritano di Rio, Andresa Feijo, tempat Havelange dirawat kerana penyakit paru-paru, Julai lalu.

Havelange memegang jawatan Presiden Konfederasi Bola Sepak Brazil dari tahun 1956 hingga 1974 dan menerajui badan induk bola sepak dunia FIFA dari tahun 1974 hingga 1998.

Kehadiran Havelange membantu Brazil memenangi bidaan untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2014 dan Sukan Olimpik 2016.

Mendiang turut dikenang sebagai tokoh yang membantu mengubah bola sepak menjadi cerita kejayaan global, tetapi legasi ditinggalkannya dicemari tuduhan rasuah yang serius.

Gambar fail 28 Mei 2002 menunjukkan Blatter (kiri) berjabat tangan dengan Havelange selepas menerima anugerah ‘Order of Merit’ FIFA bagi wakil Jose Ermirio De Morales Filho semasa upacara pembukaan Kongress FIFA ke-53 di Seoul. – AFP
Gambar fail 28 Mei 2002 menunjukkan Blatter (kiri) berjabat tangan dengan Havelange selepas menerima anugerah ‘Order of Merit’ FIFA bagi wakil Jose Ermirio De Morales Filho semasa upacara pembukaan Kongress FIFA ke-53 di Seoul. – AFP

Pengganti beliau, Sepp Blatter yang digantung tahun lepas sebagai ketua FIFA pantas memuji usaha Havelange menaikkan imej badan induk dunia itu.

“Bola sepak banyak terhutang budi dengan mendiang,” kata Blatter dalam satu kenyataan. “Dia mempunyai idea untuk menjadikan bola sepak permainan global dengan slogan ‘bola sepak adalah bahasa universal’ dan dia berjaya.

“Pembangunan beliau itulah menjadikan kami sebagai peneraju sukan dalam masyarakat pada tahap sosial, budaya dan ekonomi, dan jangan lupa pengaruh politik FIFA,” kata Blatter. “Saya berterima kasih kepada beliau kerana mempercayai saya untuk membantu membangunkan idea-idea ini.”

Havelange meletak jawatan sebagai Presiden Kehormat FIFA pada tahun 2013 selepas timbul laporan mendakwa dia menerima rasuah. – AFP