‘Raja Gelek Malaysia’ semakin pulih

‘Raja Gelek Malaysia’ semakin pulih

TELUK INTAN, 5 Jan (Bernama) – Penyanyi veteran Datuk Mohd Daud Kilau, 77, atau lebih dikenali sebagai M Daud Kilau yang dimasukkan ke Hospital Teluk Intan sejak Ahad lepas, kini semakin pulih.

Pelantun lagu Cek Mek Molek dan Gila Judi berasal dari Kampung Sungai Balai, Bagan Datoh itu dimasukkan ke hospital selepas mengalami komplikasi membuang air kecil.

Ketika ditemui pemberita di hospital berkenaan hari ini, ‘Raja Gelek Malaysia’ itu dilihat beransur pulih, malah yakin akan sembuh dalam masa terdekat selepas menerima rawatan, dan seterusnya kembali bertemu peminat. “Saya juga meminta peminat, rakan-rakan serta rakyat Malaysia mendoakan kesihatan saya agar baik kerana saya tidak akan mengalah selagi kudrat masih ada untuk menghiburkan peminat,” kata beliau sambil ditemani anak lelakinya, Ahmad Zaini Mohd Daud.

Sementara itu, Ahmad Zaini, 44, berkata bapanya dimasukkan ke wad selepas mengadu sukar untuk membuang air kecil. “Bila ayah mengadu, kami segera membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan, tetapi doktor menyarankan supaya ayah dimasukkan ke wad bagi pemeriksaan rapi,” kata beliau bahawa bapanya itu sememangnya menghidap kencing manis dan masalah buah pinggang.

ARTIKEL YANG SAMA