Raja Masyhur Negara Makmur

Raja Masyhur Negara Makmur

Oleh Sim Y. H, Yusrin Junaidi

& Mohd Asyramisyanie

Gambar oleh Muiz Matdani & Sim Y.H.

BANGAR, 20 Ogos – Cuaca panas terik bukan penghalang, malah tidak sedikit pun mematahkan semangat ribuan penduduk Daerah Temburong yang keluar serta berkumpul dari awal pagi untuk menjunjung keberangkatan dan menyampaikan ucapan menjunjung kasih serta taat setia kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, yang berkenan berangkat bercemar duli bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Temburong di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan Temburong.

Temburong adalah destinasi kedua selepas Tutong bagi Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Baginda ke-69, dengan menampilkan persembahan khas bertemakan Raja Masyhur Negara Makmur.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia mengaminkan doa yang dibacakan oleh murid-murid sekolah memohon rahmat dan kesejahteraan ke atas Baginda serta Negara Brunei Darussalam, semasa Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Temburong, kelmarin.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia mengaminkan doa yang dibacakan oleh murid-murid sekolah memohon rahmat dan kesejahteraan ke atas Baginda serta Negara Brunei Darussalam, semasa Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Temburong, kelmarin.
Baginda Sultan berkenan dijunjung bergambar ramai bersama penuntut sekolah.
Baginda Sultan berkenan dijunjung bergambar ramai bersama penuntut sekolah.
Baginda Sultan serta kerabat diraja yang lain berkenan dijunjung bergambar ramai bersama ahli-ahli Pengawasan Kejiranan.
Baginda Sultan serta kerabat diraja yang lain berkenan dijunjung bergambar ramai bersama ahli-ahli Pengawasan Kejiranan.

pg04_150821_f pg04_150821_h

Baginda Sultan berkenan dijunjung bergambar ramai bersama peserta koir.
Baginda Sultan berkenan dijunjung bergambar ramai bersama peserta koir.

pg04_150821_g pg04_150821_d pg04_150821_c pg04_150821_j pg04_150821_k

Berangkat bersama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah danYang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malek.

Keberangkatan Baginda Sultan dan kerabat diraja dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof serta Pegawai Daerah Temburong, Haji Abdul Hamid bin Dato Paduka Haji Abdullah.

Baginda Sultan berserta kerabat diraja yang lain dijunjung ke Pentas Diraja dan lagu kebangsaan dimainkan yang diikuti dengan laungan Daulat Kebawah Duli Tuan Patik.

Acara diteruskan dengan sembah kesyukuran dan taat setia oleh Haji Abdul Hamid yang menyatakan bahawa seluruh rakyat dan penduduk Daerah Temburong menyembahkan ucapan setinggi-tinggi menjunjung kasih di atas perkenan Baginda Sultan bercemar duli dengan rakyat dan penduduk
Daerah Temburong dan keberangkatan Baginda Sultan bercemar duli ke daerah itu merupakan saat yang sangat dinanti-nantikan oleh keseluruhan rakyat serta penduduk daerah ini.

Haji Abdul Hamid berkata bahawa rakyat dan penduduk daerah ini telah menikmati keselesaan, kesejahteraan dan kemudahan-kemudahan dalam segenap bidang termasuklah dari segi keagamaan, pendidikan, kesihatan, perhubungan, kemasyarakatan, keselamatan dan prasarana yang telah menyumbang dalam menaikkan taraf kualiti kehidupan rakyat dan penduduk Daerah Temburong.

“Syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala dan berkat daulat kepimpinan bijaksana Kebawah Duli Tuan Patik yang masyhur dan berjiwa rakyat, Daerah Temburong yang mempunyai jumlah penduduk yang terendah di antara empat daerah di mana rakyat dan penduduk daerah ini telah menunjukkan tahap daya saing, jati diri dan minda yang kuat dan progresif dalam bidang yang telah mereka ceburi terutama dalam bidang pendidikan, agama dan sosioekonomi, di mana beberapa peningkatan dan kejayaan telah dicapai.”

Beliau turut menyembahkan bahawa rakyat dan penduduk di semua peringkat di daerah ini akan terus berusaha untuk memakmurkan negara dalam menuju Wawasan Negara 2035.

Baginda Sultan berserta kerabat diraja yang lain kemudian dijunjung untuk menyaksikan Persembahan Padang khas bertemakan Raja Masyhur Negara Makmur, yang mengandungi empat segmen serta melibatkan penyertaan murid-murid dan penuntut sekolah, belia, pasukan beruniform dan masyarakat etnik di Daerah Temburong seramai 369 orang.

Seterusnya, Baginda Sultan berserta kerabat diraja dijunjung berangkat menerima junjung ziarah daripada rakyat dan penduduk Daerah Temburong di mana daerah ini merupakan daerah yang kedua menerima keberangkatan Baginda Sultan bercemar duli bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah bersama Rakyat dan Penduduk.

Majlis ini merupakan salah satu acara yang dinanti-nantikan oleh rakyat dan penduduk daerah berkenaan sebagai peluang untuk beramah mesra dengan raja dan pemimpin yang amat dikasihi.

Ia bukan sahaja menarik perhatian penduduk dari Daerah Temburong kerana kelihatan pengunjung dari luar negara termasuk negara jiran tidak melepaskan peluang untuk menjunjung ziarah kehadapan majlis Baginda Sultan yang disanjung tinggi serta dihormati oleh semua lapisan masyarakat baik di Brunei mahupun di luar negara.

ARTIKEL YANG SAMA