Raja Pecut ASG7 pecah rekod 200m

Raja Pecut ASG7 pecah rekod 200m

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) – Atlet muda negara, Badrul Hisyam Abdul Manap muncul Raja Pecut Sukan Sekolah-sekolah ASEAN ke-7 (ASG7) apabila menjuarai acara 200 meter temasya sukan itu dengan memecahkan rekod kejohanan miliknya sendiri, di Brunei hari ini.

Badrul Hisyam, 18, yang sebelum ini menjuarai acara 100m, mendapat pingat emas keduanya dalam acara pecut apabila memenangi acara 200m dengan catatan terpantas 21.39 saat, sekali gus mengatasi rekodnya sendiri iaitu 21.61s yang dilakukannya di Filipina tahun lepas.

Beliau menewaskan rakan senegara, Khairul Hafiz Jantan yang meraih pingat perak dengan catatan 21.47s manakala Vitnasu Phosri dari Thailand mendapat gangsa dengan 22.05s.

Dalam acara 100m semalam, Badrul Hisyam mengakhiri penantian 17 tahun apabila memperbaharui rekod kebangsaan dengan catatan 10.29s, 0.01 saat lebih pantas daripada rekod milik Watson Nyambek.

Atlet kelahiran Melaka berusia 18 tahun itu yang merupakan juara bertahan acara berkenaan, mencatat masa 10.29 saat bagi memadamkan rekod Watson 10.30 saat yang dicipta di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 1998.

Badrul Hisyam (kanan) ketika meraikan kejayaan bersama rakan dalam salah satu kejohanan yang disertainya.
Badrul Hisyam (kanan) ketika meraikan kejayaan bersama rakan dalam salah satu kejohanan yang disertainya.

pg24_151125_LOGO ASG7

Sementara itu Watson memberitahu Bernama, Badrul Hisyam berpotensi menjadi raja pecut peringkat dunia jika diberi peluang berlatih dan bertanding di luar negara.

Watson yang mencatat rekod acara perut negara pada 1998 berkata Badrul memerlukan latihan yang baik, selain makanan supplemen yang baik untuk tubuh badannya serta jurulatih yang memahami sains sukan acara pecut.

Beliau yang kini jurulatih atlet-atlet muda Flying Dayak Club yang ditubuhkan September lalu berkata pencapaian pelari muda itu akan merangsang acara balapan pada Sukan Malaysia (Sukma) tahun depan yang diadakan di Sarawak.

“Pencapaian beliau akan menarik lebih ramai penonton dan menjadi cabaran kepada atlet-atlet muda yang sedang meningkat di negara ini.

“Saya mengucapkan tahniah kepada beliau kerana berjaya mencipta rekod baru 100 meter. Dia boleh pergi lebih jauh dan saya percaya beliau boleh berlari dalam catatan masa kelas dunia di bawah 10 saat, mungkin menyamai rekod Olimpik atau dunia jika mendapat latihan yang betul,” kata Watson.

ARTIKEL YANG SAMA