Raja Thai sambut ulang tahun ke-88

Raja Thai sambut ulang tahun ke-88

BANGKOK, 6 Dis – Warga Thailand semalam menyambut ulang tahun keputeraan ke-88 raja mereka, raja paling lama memerintah di dunia, tetapi dalam keadaan pemimpin yang sebelum ini penuh bertenaga dan dalam keadaan sihat berada di hospital serta tidak dilihat di khalayak sejak tiga bulan lepas, sambutan itu adalah yang paling sugul dalam memori.

Raja Bhumibol Adulyadej kelihatan dalam keadaan lemah ketika kemunculannya kali terakhir di khalayak ramai pada 1 September, apabila baginda dibawa meninjau seketika di sekitar hospital Bangkok tempat baginda menjalani rawatan sejak enam tahun lepas. Masalah kesihatan baginda yang paling terbaru ialah jangkitan paru-paru yang memerlukannya menggunakan mesin bagi pernafasan.

Banyak aktiviti-aktiviti awam diadakan sempena sambutan ulang tahun baginda, tetapi ia tidak seperti mana sebelum baginda jatuh sakit. Salah satu perhimpunan besar tahun ini ialah di luar kawasan hospital yang menjadi istana de facto baginda, di mana segenap lapisan rakyat datang untuk mendoakan kesejahteraan baginda.

Isu-isu perubatan lain Raja Adulyadej ialah lebihan cairan di dalam otak dan pembedahan untuk mengeluarkan pundi hempedunya.

Turut menyedihkan rakyat juga semalam ialah berita kematian bekas Menteri Luar negara itu, Siddhi Savetsila pada usia 96 tahun, juga merupakan anggota Majlis Privy, lembaga penasihat peribadi raja.

Sementara baginda merupakan raja berperlembagaan yang tiada peranan rasmi politik, Bhumibol – Raja Rama IX – secara umumnya dianggap sebagai tokoh penyatuan Thailand. Campur tangan baginda ketika krisis politik besar dilihat secara umumnya sebagai mempunyai kunci kepada pemulihan status quo. – Agensi