Raja Thailand beransur sembuh

Raja Thailand beransur sembuh

BANGKOK, 11 Jan (Reuters) – Raja Thailand, Bhumibol Adulyadej keluar hospital hari ini untuk melawat istana beliau di Bangkok, pertama kali baginda keluar sejak dimasukkan ke hospital tahun lalu.

Keberangkatan baginda ke Istana Chitralada menyusuli pengumuman Biro Keluarga Diraja semalam yang mengatakan bahawa Raja berusia 88 tahun itu sembuh daripada jangkitan darah dan paru-paru bengkak.

Raja Bhumibol, raja paling lama bertakhta di dunia, telah dirawat di hospital sejak Mei dan telah menerima rawatan bagi pelbagai penyakit. Kegelisahan akan kesihatan baginda dan penggantian baginda telah membentuk latar belakang kepada krisis politik sedekad di Thailand, yang mana pihak ketenteraan telah mengambil alih kuasa dalam rampasan kuasa pada Mei 2014.

“Baginda akan berangkat ke Istana Chitralada bagi perubahan suasana dan akan pulang hari ini,” menurut seorang pegawai istana yang enggan mendedahkan identitinya.

Karavan Raja Bhumibol Adulyadej meninggalkan hospital Siriraj di Bangkok pada 11 Januari. – Reuters
Karavan Raja Bhumibol Adulyadej meninggalkan hospital Siriraj di Bangkok pada 11 Januari. – Reuters

Baginda, yang telah menaiki takhta dalam tahun 1946, begitu dihormati dan ketiadaan baginda ketika upacara menghadap tahunan untuk meraikan keputeraan baginda pada 5 Disember menambah kegelisahan tentang kesihatan baginda. Tetapi baginda membuat kemunculan pada 14 Disember yang jarang sekali baginda lakukan.

Sebahagian besar masa baginda berada di hospital sejak 2009, meskipun baginda kadangkala berada di istana bernama Klai Kangwon, yang diterjemahkan sebagai ‘jauh dari kebimbangan’, yang terletak di bandar tepi laut di Hua Hin, selatan Bangkok.

ARTIKEL YANG SAMA