Raja Thailand dalam rawatan

Raja Thailand dalam rawatan

BANGKOK, 11 Ogos – Raja Thailand, Bhumibol Adulyadej pada masa ini menerima rawatan bagi ‘air pada otak’ dan jangkitan dada, pihak istana mendedahkan dalam kenyataan yang jarang sekali dibuat, di tengah kebimbangan orang ramai tentang kesihatan raja yang paling lama memerintah di dunia itu.

Raja yang berusia 87 tahun itu, yang dianggap sebagai hampir seperti Tuhan oleh kebanyakan rakyat Thailand, berada di Hospital Siriraj, Bangkok sejak dimasukkan semula pada Mei lalu, tetapi maklumat tentang keadaan baginda sukar didapati.

Para doktor di hospital telah “mengurangkan paras air dalam otak baginda,” Biro Keluarga Diraja berkata dalam satu kenyataan semalam.

“Ketika baginda dirawat di Siriraj, baginda mengalami demam berkala dan denyutan jantung tinggi dianggap berpunca dari jangkitan paru-paru sebelumnya,” menurutnya, dengan menambah kata kadar degupan jantungnya telah kembali seperti biasa selepas rawatan.

Kebimbangan tentang masa depan Thailand ketika pemerintahan Bhumibol memasuki tahun-tahun penghujung dilihat sebagai faktor pendorong di sebalik kekecohan politik selama sedekad di negara beraja itu yang telah menyaksikan dua rampasan kuasa dan beberapa bantahan ganas di jalan raya.

Gambar fail Raja Thailand Bhumibol Adulyadej. Raja itu kini dirawat dihospital. – Reuters
Gambar fail Raja Thailand Bhumibol Adulyadej. Raja itu kini dirawat dihospital. – Reuters

Jeneral-jeneral yang setiaraja merampas kuasa dalam bulan Mei 2014 selepas beberapa minggu bantahan menentang kerajaan awam Yingluck Shinawatra, yang keluarganya dan wakil mereka telah memenangi setiap pilihan raya sejak 2001.

Keluarga Shinawatra dibenci oleh elit setiaraja yang menuduh mereka terlibat dengan rasuah meluas dan mensubversikan status quo politik negara beraja itu.

Jeneral-jeneral Thailand berkata mereka akan menyerahkan kuasa sebaik saja perlembagaan telah digubal semula dan rasuah dihapuskan.

Tetapi para pengkritik berkata pihak tentera telah menggunakan status yang mereka bentuk sendiri sebagai pembela raja sebagai alasan untuk merampas kuasa dan memastikan keluarga Shinawatra tidak kembali kepada politik lagi.

Kesihatan raja adalah topik kontroversi. Raja Thailand dilindungi oleh salah satu undang-undang lese majeste paling keras di dunia dan pendakwaan bertambah secara dramatik sejak ketenteraan mengambil alih.

Seorang lelaki dipenjarakan 30 tahun pada Jumaat lalu kerana “menghina” raja di Facebook, dalam salah satu hukuman yang paling keras kerana pemfitnahan diraja. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA