Rak utiliti berbentuk rumah

Rak utiliti berbentuk rumah

Oleh Amri HTZ

 

DALAM menjadikan sesebuah ruang terpapar indah dan cantik, ia memerlukan perabot perhiasan yang unik untuk menghias ruang rumah anda. Pelbagai langkah yang diambil sesetengah masyarakat dalam menghiasnya termasuklah membeli perabot perhiasan yang tersedia di pasar raya.

Namun bagi sesetengah masyarakat, memiliki sesuatu perabot perhiasan dengan cara membelinya bukanlah satu pilihan yang disukai kerana harga dan minat terhadap bentuk sesuatu perabot itu tidak bertepatan dengan minat seseorang. Bagi menyelesaikan masalah kewangan dan minat dalam pemilihan perabot perhiasan, anda boleh membuatnya sendiri dengan pelan yang disediakan ini.

Barang yang diperlukan dalam proses pembuatan

Barang-barang yang diperlukan dalam pembuatan rak berbentuk rumah ini ialah papan, mesin gergaji, gam kayu, paku, pita pengukur, cat sembur atau varnis, clamp kayu, pensel, tukul, centre punch dan kertas pasir bersaiz 1000 grit.

Proses pembuatan

Pada langkah pertama pembuatan, anda perlu memotong papan yang disediakan kepada saiz-saiz kecil sebagai persiapan untuk proses mencantumkannya nanti.

Barang-barang yang diperlukan dalam pembuatan.
Barang-barang yang diperlukan dalam pembuatan.

MPDIY LOGO

Kayu yang tersedia sebelum proses percantuman.
Kayu yang tersedia sebelum proses percantuman.
Proses mengecat rak utiliti.
Proses mengecat rak utiliti.

Saiz papan yang diperlukan dalam membuat rak utiliti ini adalah 5’’x 13’’ sebanyak empat keping (Piece A), 5’’x 4 3/16’’ sebanyak enam keping (Piece B), 5’’x 13 5/8’’ sebanyak dua keping (Piece C),5’’x 12 ¼’’ sekeping (Piece D) dan 5’’x 12 9/16’’ sekeping (Piece E). Pastikan anda melebihkan ‘Piece B’ sebanyak dua keping untuk dijadikan sebagai penyukat ruang pada proses percantuman nanti.

Langkah kedua pembuatan memerlukan anda untuk menyapukan gam pada setiap sudut percantuman rangka rak. Langkah ini memerlukan anda untuk mencantumkan Piece A dan Piece C seperti yang terpapar dalam gambar yang disediakan.

Kukuhkan sudut percantuman dengan menggunakan clamp kayu. Gunakan lebihan kayu daripada ‘Piece B’ untuk dijadikan sebagai penyukat ruang di antara setiap ‘Piece A’ agar cantuman nampak teratur dan tepat. Lakukan proses ini sehingga semua papan ‘Piece A’ dan ‘Piece C’ yang disediakan, bagi digunakan dan membentuk segi empat tepat.

Pada langkah ketiga pembuatan, papan ‘Piece D’ dan ‘Piece E’ yang telah disediakan tadi perlu dicantumkan pada bahagian atas rangka asas rak dengan membentuk seperti bumbung sesebuah rumah. Dalam proses ini, penggunaan gam kayu yang kuat dan menyeluruh pada sudut pertemuan amatlah penting demi kekukuhan struktur rak anda.

Setelah selesai mencantumkan, kukuhkan sudut cantuman dengan clamp kayu pada setiap sudut percantuman dengan membiarkan gam mengering sebelum beralih ke langkah yang seterusnya.

Pada langkah seterusnya, potongan kayu kecil yang telah dibuat (Piece B) tadi juga perlu disapukan dengan gam kayu pada setiap sudut percantuman. Keenam-enam kayu pembahagi ruang perlu dipasang secara serentak pada bahagian dalam rak tersebut. Penyukat kayu bersaiz ‘Piece B’ yang telah disediakan tadi sekali lagi memainkan peranan penting untuk memastikan setiap sudut percantuman tepat dan berada di kedudukan yang tepat dan rata.

Rak utiliti berbentuk rumah dapat dijadikan perhiasan menarik di ruang dinding rumah anda.
Rak utiliti berbentuk rumah dapat dijadikan perhiasan menarik di ruang dinding rumah anda.
Menyapukan gam kayu pada setiap sudut percantuman.
Menyapukan gam kayu pada setiap sudut percantuman.

Setelah selesai mencantumkan kesemua kayu pembahagi tersebut, sekali lagi kukuhkan struktur rak dengan menggunakan clamp kayu anda. Selain berfungsi sebagai pembahagi ruang pada rak utiliti anda, kayu pembahagi yang dipasang ini juga berperanan untuk mengukuhkan lagi struktur rak sebagai penyokong rangka asas.

Setelah gam mengering sepenuhnya, anda bolehlah meneruskan proses seterusnya dengan melantakkan paku pada setiap sudut percantuman. Untuk menyembunyikan kepala paku daripada tertonjol di permukaan kayu, setelah melantakkan paku pada setiap sudut, gunakan centre punch yang dibuat khas untuk kayu dengan mengetuk masuk setiap kepala paku yang tertonjol.

Dalam proses ini, setiap lubang yang dihasilkan oleh paku di permukaan kayu boleh disembunyikan dengan menyapukan lebihan habuk kayu ketika proses memotong dengan mencampurkan dengan gam kayu dan biarkan gam mengering.

Pada proses seterusnya, setiap sudut dan permukaan kayu yang kasar atau tajam perlu dirawat dengan menggosokkan kertas pasir bersaiz 1000 grit pada setiap permukaan kayu rak.

Lakukan proses ini sehingga anda boleh merasakan permukaan kayu yang digosok terasa licin dan halus sebelum melakukan proses mengecat.

Setelah proses menghaluskan permukaan selesai, anda bolehlah memulakan proses mengecat rak dengan pilihan warna kegemaran anda dan berpadanan dengan tema ruang tmpat rak akan diletakkan nanti.

Untuk menghasilkan warna yang nampak menyerlah, anda perlu mengecat menggunakan cat berwarna kelabu untuk kot bawah dan kemudian diikuti dengan warna pilihan anda.

Setelah cat mengering, rak utiliti berbentuk rumah anda siap untuk digunakan setelah ia digantung pada dinding ruang pilihan anda!

ARTIKEL YANG SAMA