Rakam detik terakhir Tamu Kianggeh

Rakam detik terakhir Tamu Kianggeh

Oleh HAL

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Dis – Detik-detik terakhir kewujudan tamu bersejarah negara ini, Tamu Kianggeh dirakamkan dalam bentuk fotografi hari ini sebelum ia dipindahkan tempat baru.

Sekumpulan ahli Pertubuhan Fotografi Negara Brunei Darussalam, diketuai oleh Awang Hamidun bin Haji Mohd Noor, awal pagi ini merakamkan tamu itu yang sering dikunjungi penduduk tempatan dan para pelancong yang mencari sesuatu yang unik.

Tamu yang menjual berbagai-bagai jenis makanan tempatan, sayur-sayuran, buah-buahan, barangan antik, ubat-ubatan tradisional, makanan kering dan sebagainya ini akan dipindahkan ke lokasi baru tidak lama lagi.

Antara keadaan yang dirakamkan oleh jurugambar, kelmarin.
Antara keadaan yang dirakamkan oleh jurugambar, kelmarin.

Ia beroperasi setiap hari namun pada hari Jumaat dan Ahad, tamu ini lebih meriah daripada kebiasaannya apabila ramai pedagang membawakan jualan yang agak unik, terdiri daripada barangan basah, sayuran hutan dan binatang hidup.

Dalam rakaman pagi tadi, ahli Pertubuhan Fotografi sempat merakamkan kawasan berjaja dan pedagang yang menjual pelbagai jenis makanan seperti budu kupang, ikan, liking, jamu-jamu, bedak bagi pengantin, bantal kapok dan banyak lagi.

Kehilangan tamu ini kelak pastinya akan dirindukan memandangkan ia sudah pun sebati dengan wajah Bandar Seri Begawan, namun gambar yang dirakamkan akan menjadi ristaan Tamu Kianggeh.

ARTIKEL YANG SAMA