Rakam keindahan Selirong

Rakam keindahan Selirong

Oleh HAL

 

TEMBURONG, 10 Ogos – Sebut sahaja Temburong, pasti ramai yang tahu ia adalah sebuah daerah cantik penuh dengan kehijauan dan salah satu daripada tarikan pelancong ke sana terletak di utara daerah itu.

Destinasi pelancongan itu ialah Hutan Simpan Pulau Selirong yang berkeluasan 2,566 hektar dan diliputi hutan paya bakau yang masih kekal terpelihara, sekali gus menjadi habitat flora dan fauna semula jadi yang menarik perhatian mana-mana kumpulan pencinta alam atau jurugambar.

Pertubuhan Fotografi Negara Brunei Darussalam tidak ketinggalan menerokai keindahan pulau itu apabila mengadakan kunjungan penggambaran luar ke-7 di sana. Seramai 21 orang ahli persatuan diketuai Awang Hamidun bin Haji Mohd Noor memulakan perjalanan ke pulau itu untuk merakamkan keindahan sekitarnya.

Pengembaraan mereka bermula pada jam 7:30 pagi dari Jeti Jambatan Queen, Kampung Dato Gandi menaiki bot panjang yang memakan masa 45 minit menyeberangi Teluk Brunei. Sebaik sampai ke pulau itu, ahli-ahli melaporkan diri ke pos Polis Hutan di situ bagi memastikan keselamatan mereka terjamin semasa menjelajah pulau itu.

Gambar ramai sebelum berangkat pulang.
Gambar ramai sebelum berangkat pulang.
Peserta ekspedisi menaiki bot.
Peserta ekspedisi menaiki bot.
Colugo yang sedang tidur.
Colugo yang sedang tidur.
Suasana hutan paya bakau yang tampak menenangkan.
Suasana hutan paya bakau yang tampak menenangkan.

Rombongan berjalan kaki ke pulau itu melalui jambatan yang disediakan sejauh 2km. Jika bernasib baik, pengembara akan menemui hidupan liar seperti bangkatan, monyet, berbagai-bagai jenis burung, reptilia, siput dan lukan. Ahli-ahli Pertubuhan Fotografi bernasib baik kerana sempat merakamkan sejenis mamalia dikenali sebagai Colugo atau tupai terbang yang sedang tidur. Haiwan ini aktif pada waktu malam dan boleh terbang dari tempat tinggi ke kawasan rendah dengan bantuan sayapnya.

Pengembaraan bagaimanapun berbaloi bagi ahli-ahli meskipun ia agak mencabar kekuatan fizikal dan mental selain dapat mengukuhkan kerjasama berpasukan dan saling bantu-membantu dalam kelengkapan yang diperlukan.

ARTIKEL YANG SAMA