Rakaman video hanya untuk sahkan individu dikehendaki polis – saksi

Rakaman video hanya untuk sahkan individu dikehendaki polis – saksi

KOTA KINABALU, 6 Mei (Bernama) – Mahkamah Tinggi di sini diberitahu bahawa rakaman-rakaman video suspek hanyalah untuk mengesahkan bahawa mereka adalah individu yang dicari pihak polis.

Bagaimanapun, pegawai penyelaras operasi Cawangan Khas (SB) Bukit Aman ASP Wan Kamal Rizal Wan Daud berkata jika suspek melakukan perbuatan salah, ia boleh dirakam video untuk penyiasatan atau analisis lanjut.

“Rakaman video bukan dibuat untuk mencari kesalahan. Ia bagi mengesahkan itu (suspek) adalah sasaran yang dicari polis.

“Sekiranya terdapat apa-apa pergerakan yang salah, ia bolehdirakam secara langsung,” katanya ketika disoal balas oleh peguam Datuk N. Sivananthan.

Wan Kamal Rizal memberi keterangan pada perbicaraan 30 individu yang dikaitkan dengan pencerobohan oleh lelaki bersenjata Sulu di KampungTanduo, Lahad Datu dua tahun lalu.

Semasa menjawab soalan Sivananthan, Wan Kamal Rizal berkata rakaman video di Semporna oleh pasukan pengawasan fizikal yang diketuai Insp Mohd Mokhsin Mohd Sidit, sudah tidak wujud lagi.

Beliau menjelaskan sejurus selepas operasi mengesan dan menangkap suspek, rakaman video terpaksa dimusnahkan.

“Saya arah atau meminta Insp Mohd Mokhsin untuk memusnahkan rakaman video bagi membolehkan kamera video digunakan untuk operasi seterusnya,” katanya. Wan Kamal Rizal menjelaskan rakaman video dimusnahkan selepas berakhirnya sesuatu operasi adalah prosedur biasa SB.

Saksi itu berkata pasukan pengawasan fizikal hanya mencatatkan pergerakan tiga tertuduh iaitu Tani Lahaddahi, Abd Hadi Mawan dan Norhaida Ibnahi.

Seramai 27 warganegara Filipina dan tiga penduduk tempatan dibicarakan atas pelbagai tuduhan termasuk menganggotai kumpulan pengganas atau melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Mereka turut dituduh merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Feb dan 10 April, 2013.

Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung esok.