Rakan KKR ‘Mata-Mata’ Kementerian Kerja Raya

PADANG BESAR – Istilah ‘Rakan Cop’ atau ‘Rakan Polis’ mungkin sudah biasa didengari namun pasti ramai yang tidak tahu akan kewujudan Rakan Kementerian Kerja Raya atau singkatannya Rakan KKR.

Tidak jauh beza dengan ‘Rakan Cop’, inisiatif Rakan KKR berperanan sebagai medium perantara antara KKR dengan masyarakat sekali gus mewujudkan interaksi dua hala yang lebih berkesan bagi manfaat bersama.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KKR Datuk Sarani Dollah berkata Rakan KKR yang diwujudkan pada awal 2014 itu banyak menyumbang kepada penambahbaikan kementerian terutama dalam memberikan perkhidmatan jalan raya dan infrastruktur yang lebih baik kepada pengguna.

“Rakan KKR ini umpama jambatan penghubung atau lebih tepat lagi ‘mata-mata’ antara kementerian dan masyarakat dalam menyampaikan isu dan permasalahan terutama berkaitan jalan raya.

“Meskipun tidak ditubuhkan secara rasmi, inisiatif yang diilhamkan Menteri KKR Datuk Seri Fadillah Yusof ini mendapat respon positif daripada orang ramai dengan keanggotaannya kini melebihi 300 orang dari seluruh negara,” katanya kepada Bernama ketika ditemui semasa program Jelajah FTRoadpedia Zon Utara anjuran kementerian itu pada 29 hingga 31 Julai lepas.

Jelajah menggunakan dua buah bas dan beberapa buah kereta itu disertai seramai 120 orang pengurusan tertinggi KKR, jabatan dan agensi di bawahnya, beberapa wakil media. – Bernama

Jelajah FTRoadpedia Zon Utara yang turut disertai beberapa Rakan KKR itu adalah siri keempat selepas jelajah Zon Tengah pada Ogos 2016, Zon Timur pada Februari dan Zon Selatan pada Mei lepas yang bertujuan mempromosikan Jalan Persekutuan sebagai jalan utama dan menggalakkan penggunaannya sebagai suatu laluan kembara budaya melalui tempat-tempat menarik yang boleh dilawati.

Undang Blogger, Cyber Troopers

Mengulas lanjut,Sarani berkata inisiatif mewujudkan Rakan KKR bermula dengan mengenalpasti seterusnya mengundang mereka yang aktif dalam media sosial seperti Facebook (FB) dan Twitter termasuk para blogger yang juga ‘pengadu’ dan ‘cyber troopers’ kepada kementerian.

“Mereka ini adalah orang awam yang seringkali menulis, memuatnaik status, berkongsi malah adakalanya ?menghentam’ KKR berhubung isu melibatkan kementerian dalam laman sosial sebagai contoh isu kerosakan jalan raya dan infrastruktur berkaitan.

“Kementerian berasa terpanggil untuk menjadikan mereka ini sebagai ?rakan’ atas kapasiti penyertaan orang awam seperti mereka ini secara langsung boleh menambah baik dan menyebar luas fungsi dan peranan KKR kepada masyarakat melalui platform media sosial yang menjadi pilihan ramai hari ini,” tambahnya.

Penyertaan untuk menjadi Rakan KKR adalah secara sukarela dengan ‘follow’ Rakan KKR di FB dan Twitter. Mereka yang menyertai Rakan KKR tidak diberi sebarang bayaran, ?gaji ataupun elaun.

Anggota Rakan KKR yang konsisten dan aktif seterusnya akan berhubung melalui ?whatsapp group’ utama yang turut disertai oleh Menteri KKR bagi memastikan sistem penyampaian lebih berkesan dan telus, di samping ?whatsapp group’ yang mewakili setiap negeri.

Sarani pada masa sama berpendapat penggunaan media sosial memberi kesan besar kepada KKR dalam menambah baik perkhidmatan di samping kerjasama dengan agensi Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) yang turut sama memanfaatkan platform berkenaan.

Ditanya sebarang perancangan untuk menjadikan Rakan KKR sebagai suatu badan rasmi, beliau bagaimanapun berkata: “Biarlah begini dan lebih selesa begini (tidak rasmi). Sesuatu yang secara sukarela, tanpa ada protokol tanpa ada istilah ketua dan orang bawah, lebih senang untuk masing-masing memain peranan selain tidak ‘teragak-agak’ atau ‘takut-takut’ untuk mengadu,” jelasnya. Majoriti Rakan KKR terutama blogger yang menggunakan nama samaran banyak membantu dalam penulisan dan perkongsian maklumat mengenai KKR termasuk ?hyperlink’ yang digunakan yang menjadi tular kepada orang ramai.

Manfaat pengguna, KKR

Seorang Rakan KKR yang turut dalam program jelajah selama tiga hari itu, Zakhir Mustaffa berkata penyertaan beliau adalah bertitik-tolak menyedari hak dan peranannya sebagai pengguna jalan raya.

“Pendek kata, majoriti kami (Rakan KKR) adalah golongan yang mengecam KKR. Sebagai pengguna jalan raya apabila melihat jalan banyak yang berlubang, tidak diselenggara dengan baik dan tidak dicat, pasti kita tidak berpuas hati.

Jelajah FTRoadpedia Zon Utara adalah siri keempat selepas jelajah Zon Tengah pada Ogos tahun lepas, Zon Timur (Feb 2017) dan Zon Selatan (Mei 2017). – Bernama
Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Datuk Seri Zohari Akob (kiri) bersama peserta program Jelajah FTRoadpedia Zon Utara anjuran Kementerian Kerja Raya (KKR) pada 29 hingga 31 Julai lepas di Empangan Timah Tasoh. – Bernama

“Daripada ‘kecaman’ yang disuarakan dalam media sosial ia menjadi tular dan KKR memberi respon dengan memanggil kami seterusnya membawa kepada penubuhan Rakan KKR. Saya melihat ini satu langkah berani KKR dalam memperbaiki perkhidmatan mereka ke tahap yang lebih baik dengan menggalakkan penglibatan orang awam meskipun melalui ‘alam maya’.

Turut berkongsi apa yang dilakukan sebagai Rakan KKR, Zakhir berkata, sebarang maklumat atau aduan yang diperoleh akan disalurkan melalui tanda pagar tertentu bagi memaklumkan KKR yang seterusnya akan diambil tindakan oleh bahagian yang bertanggungjawab di kementerian itu.

Melihat transformasi oleh KKR sebagai bersifat terbuka kerana ?membenarkan’ orang awam untuk memberi kritikan secara terus kepada kementerian itu, beliau menambah komunikasi dua hala antara pengguna dan KKR memberi kelebihan kepada pengguna untuk menikmati infrastruktur yang lebih baik di samping mengangkat imej KKR.

“Kita faham adakalanya kekurangan dan permasalahan yang berlaku adalah disebabkan faktor kekangan peruntukan atau kewangan yang dihadapi kementerian tapi kita juga tidak mahu kekangan itu menjadi halangan untuk kementerian berkompromi dengan isu keselamatan dan keselesaan rakyat.

“Masalah jalan raya berlubang dan tidak mesra pengguna, kesesakan lalu lintas, pusingan U yang tidak munasabah, binaan jejantas yang tidak sesuai antara yang sering menjadi isu. Bahasa santai yang digunakan Rakan KKR menjadikan penyampaian sesuatu isu itu lebih berkesan dan mudah difahami,” katanya sambil menambah pekerja swasta, ahli perniagaan, jurutera dan golongan profesional juga menyertai Rakan KKR.

Maklum balas cepat

Seorang lagi Rakan KKR yang juga juruterbang Malaysia Airlines Kapten Elman Mohd Tahir menyifatkan inisiatif Rakan KKR sebagai suatu pendekatan baharu yang menyumbang kepada tindakan dan maklum balas lebih cepat oleh KKR berhubung permasalahan pengguna jalan raya.

Mengetahui tentang Rakan KKR melalui teman-temannya Elman pada masa sama berkongsi Rakan KKR telah memberi satu ‘dunia baharu’ kepadanya yang banyak menghabiskan masa di awan biru.

“My job scope lebih kepada fly. Dengan adanya Rakan KKR selain engagement between rakyat dan kementerian, ia juga beri peluang kepada saya untuk menambah kenalan terutama dari different perspectives selain memupuk semangat setiakawan yang tinggi terutama apabila ada program seperti jelajah ini di mana kami Rakan KKR boleh berkumpul bersama,” katanya.

Beliau menambah, selain menyumbang kepada rakyat dan KKR melalui post dan share di FB dan Twitter, ia secara langsung membuktikan pentingnya agensi tertentu memanfaatkan penggunaan media sosial untuk memperbaiki mutu perkhidmatan mereka.

“With social media you can do so many things but the most important is to disseminate correct information. For example, kami tahu right facts about KKR, then we shared through FB and Twitter.”

“It is good and really helps especially bila kita boleh ambil gambar or snapshot sesuatu masalah contohnya jalan berlubang dan hantar ke saluran yang tepat jadi ia boleh diambil tindakan segera dengan adanya involvement orang awam seperti Rakan KKR,” katanya sambil menambah inisiatif itu wajar dicontohi agensi dan kementerian lain dalam memanfaatkan teknologi media sosial demi memperbaiki perkhidmatan masing-masing. – Bernama