Rakuten penaja global Barcelona

Rakuten penaja global Barcelona

BARCELONA, 17 Nov – Syarikat jualan langsung terkemuka Jepun Rakuten, menjadi penaja utama Barcelona untuk tempoh empat tahun akan datang dengan nilai tajaan sebanyak 55 juta euro setahun, umum kelab gergasi Sepanyol itu, kelmarin.

Rakuten bakal menggantikan Qatar Airways, syarikat penaja jersi Barcelona sejak 2013, yang dilaporkan membelanjakan 35 juta euro pada tahun terakhir perjanjian mereka sehingga penamat kempen 2016-17.

“Saya dengan penuh hormatnya mengumumkan bahawa lembaga pengarah kelab sudah meluluskan Rakuten sebagai penaja global kelab ini untuk tempoh empat tahun akan datang,” kata Presiden Barca, Josep Maria Bartomeu, pada sidang media khas di Nou Camp.

Kejayaan hebat Barcelona di atas padang menjadikan ia sebuah kelab yang amat menarik untuk mengiklankan jenama.

Walaupun mengharungi kempen Liga Juara-Juara yang mengecewakan musim lalu, Barca tetap memenangi La Liga dan Copa Del Rey.

Bartomeu (kiri) dan Mikitani mempamerkan jersi Barcelona selepas menandatangani perjanjian penajaan di Stadium Camp Nou, kelmarin. – AFP
Bartomeu (kiri) dan Mikitani mempamerkan jersi Barcelona selepas menandatangani perjanjian penajaan di Stadium Camp Nou, kelmarin. – AFP

Kelab ini juga mempunyai himpunan bintang dunia, aset penting bagi pemasaran kelab itu, yang mempunyai berjuta-juta pengikut di media sosial.

Penyerang sensasi Catalan Lionel Messi muncul antara pemain paling popular dunia dalam laman sosial, dengan lebih 78 juta pengikut laman Facebook.

Perjanjian penajaan baru Barcelona itu bagaimanapun kurang sedikit berbanding perjanjian tujuh tahun Manchester United bersama Chevrolet yang akan memberikan kelab Inggeris itu AS$560 juta atau kira-kira AS$80 juta (70 juta euro) setahun.

Barcelona yang dulu terkenal kerana tidak pernah mempunyai penaja jersi, berusaha mencari pengganti kontrak Qatar Airways yang dilihat di bawah nilai pasaran untuk beberapa musim. Barca melanjutkan kontrak dengan syarikat penerbangan itu untuk setahun lagi tahun lepas sementara mencari rakan kongsi baru.

Rakuten yang berusaha untuk meningkatkan imej global, adalah syarikat e-dagang terbesar di Jepun dengan lebih daripada 13,000 pekerja dan perolehan lebih daripada dua trilion yen (18.2 bilion dolar) dalam tiga suku pertama tahun ini.

Syarikat itu sudah pun terlibat dalam sukan domestik di Jepun dengan memiliki kelab Liga-J Vissel Kobe dan pakaian profesional besbol Tohoku Rakuten Golden Eagles.

“Cita-cita besar kami adalah mengubah jenama Jepun kepada jenama global,” kata pengasas bersama Rakuten dan CEO Hiroshi Mikitani yang juga rakan kepada pertahanan Barca Gerard Pique.

Presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu berkata rundingan telah dimulakan oleh Pique, yang menguruskan makan malam dengan Mikitani di San Francisco, tahun lepas.

Barcelona telah mengambil langkah pertama ke arah menamatkan tradisi menjauhi penaja jersi pada 2006 apabila bersetuju untuk membawa logo Unicef.

Pada 2011, Yayasan Qatar menggantikan amal pada baju kelab di bawah perjanjian baru. Qatar Airways menandatangani perjanjian penajaan pertama dengan Barca pada 2013, tetapi ramai ahli kelab Barcelona menyatakan bantahan terhadap hubungan kelab itu dengan negara Teluk itu.

Bekas presiden kelab Joan Laporta telah berjanji untuk menamatkan perjanjian penajaan jika dipilih semula ke jawatan itu tetapi tewas kepada Bartomeu pada pilihan raya kelab 2015.

Perjanjian penajaan baru Barcelona itu muncul ketika kelab itu bersedia untuk memulakan kerja pengubahsuaian Camp Nou pada 2018.

Pembaharuan itu akan melihat kapasiti stadium terbesar di Eropah diperluaskan kepada 105,000 tempat duduk dan bangunan terbuka bagi membolehkan penonton melihat pemandangan bandar.

Bajet sebanyak 420 juta euro telah dianggarkan untuk projek yang akan dibiayai sebahagian besar oleh hasil daripada penajaan.

Barcelona pada Mei lalu menandatangani perjanjian kit 10 tahun bersama Nike yang dijangka membawa masuk sekurang-kurangnya 150 juta euro setiap musim apabila ia berkuat kuasa pada musim 2018-19.

Kelab ini dijangka mencatatkan rekod perolehan 679 juta euro pada musim 2015-16 dan mengatasi musuh tradisi Real Madrid sebagai kelab terkaya di dunia dalam ranking tahunan Deloitte. – AFP