Rakyat Australia rugi AS$166 juta pada 2015

Rakyat Australia rugi AS$166 juta pada 2015

CANBERRA, 16 Mei (Bernama) – Semakin ramai rakyat Australia menjadi mangsa sindiket penipuan licik dan kehilangan lebih banyak wang berbanding sebelum ini, menurut data yang dikeluarkan Suruhanjaya Pengguna dan Persaingan Australia (ACCC) hari ini.

Menerusi kerjasama dengan Cybercrime Online Network Reporting Australia (ACORN), ACCC yang merupakan agensi kerajaan, mendapati kerugian rakyat Australia mencecah AS$166 juta pada 2015 dengan warga emas, terutamanya, lebih terdedah kepada sindiket penipuan terbabit, lapor agensi berita China, Xinhua.

Daripada jumlah itu, lebih AS$31 juta tidak dapat diperoleh kembali dan Timbalan Pengerusi ACCC, Delia Rickard, memberitahu badan penyiar the Australian Broadcasting Corporation (ABC) bahawa sindiket terbabit menggunakan kaedah yang lebih kreatif serta licik untuk menipu orang ramai.

“Penipuan pelaburan dilakukan dalam pelbagai cara termasuk usaha niaga, skim persaraan, dana terurus dan penjualan atau pembelian syer atau hartanah,” kata Rickard hari ini.

“Mereka yang hampir bersara sememangnya prihatin bagaimana mereka boleh mengembangkan dana persaraan mereka, jadi kami rasa perkara ini boleh menyebabkan mereka lebih terdedah kepada sindiket penipuan.”

Rickard berkata hampir separuh daripada kerugian itu dialami warga emas Australia, dengan ramai menjadi mangsa laman sesawang yang kononnya menawarkan khidmat mengatur janji temu. Beliau berkata kerugian purata adalah lebih AS$6,000.

“Empat puluh peratus mangsa sindiket penipuan pada tahun lepas adalah mereka yang berumur lebih 55 tahun,” kata Rickard.

Lebih 100,000 aktiviti penipuan dilaporkan sepanjang tahun 2015, menyaksikan peningkatan sebanyak 15 peratus berbanding 2014, dan Rickard berkata majoriti sindiket itu kini berpangkalan di Asia, bukan Australia.

ARTIKEL YANG SAMA