Rakyat Britain akan tentukan nasib dalam EU

Rakyat Britain akan tentukan nasib dalam EU

HONG KONG, 26 Feb (AFP) – Perancis berkata hari ini ia percaya rakyat Britain akan mengundi tidak bersetuju untuk meninggalkan Kesatuan Eropah (EU) dalam referendum pada musim panas ini, dengan pengundian itu menyumbang kepada ‘ketidakpastian’ sejagat pada masa ini.

Bercakap di Hong Kong dalam perjalanan untuk menghadiri rundingan pegawai-pegawai G20 di Shanghai, menteri kewangan Perancis Michel Sapin berkata orang awam Britain akan menolak Brexit dan membuat ‘pilihan terbaik’ untuk diri mereka dan Eropah dengan mengundi kekal dalam zon euro pada Jun ini.

“Saya percaya dengan kebijakan orang ramai,” dia memberitahu para pemberita.

“Apa saja godaan, ketegangan atau perubahan suasana, mereka akan membuat pilihan terbaik untuk diri mereka dan bagi Eropah..untuk bertahan dalam EU.”

Sapin berkata Perancis dan Jerman terutamanya mahu membantu Britain membuat hujahan meyakinkan untuk terus kekal dalam EU, dan dia percaya majoriti anggota G20 akan juga menentang Brexit.

“Kepercayaan kami ialah perkara terbaik bagi seluruh dunia, bagi Britain dan bagi seluruh Eropah, ialah Britain kekal dalam EU,” katanya lagi.

Pengundian telah membawa kepada ketidakpastian ekonomi yang tidak dapat dielakkan, tambahnya.

“Memandangkan ia pengundian, referendum, ada ketidakpastian. Ketidakpastian itu adalah salah satu elemen yang wujud hari ini berhubung dengan kestabilan sejagat atau kestabilan di Eropah. ”Britain menggesa menteri-menteri kewangan G20 berhimpun di China bagi rundingan dua hari untuk menekankan bahaya yang mengancam jika negara itu meninggalkan EU, lapor Financial Times.

ARTIKEL YANG SAMA