Rakyat Britain dibunuh selepas minum air jampi

Rakyat Britain dibunuh selepas minum air jampi

LIMA, 18 Dis (AFP) – Seorang rakyat Kanada menikam seorang lelaki Britain hingga mati dalam pergaduhan di sebuah asrama di Peru selepas meminum ayahuasca, sejenis air jampi yang terkenal di Amerika Selatan, kata polis kepada AFP.

Pembunuhan berlaku Rabu lalu di sebuah kampung berhampiran bandar Amazon di Iquitos dalam satu acara mistik untuk pelancong.

Dalam upacara itu, pelancong diberi sejenis minuman teh mengkhayalkan yang dipercayai dapat menghalau semangat jahat. Siasatan awal mendapati, kedua-dua lelaki yang belum dikenal pasti itu, mengambil minuman itu sebelum bertengkar.

Rakyat Britain itu dikatakan lebih dulu menyerang warga Kanada. Ini menyebabkan warga Kanada, 26, mencapai pisau dan menikam mangsa sehingga mati. Mangsa dikejarkan ke hospital tetapi tidak dapat diselamatkan sementara warga Kanada itu kini berada dalam tahanan polis.