Rakyat Brunei selamat

Rakyat Brunei selamat

Oleh Fizah HAB

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Sept – Kesemua jemaah haji Negara Brunei Darussalam yang berada di Mekah, Arab Saudi dilaporkan selamat dan tidak seorang pun daripada mereka cedera dalam kejadian kebakaran di sebuah hotel di bandar itu lewat semalam.

Lebih daripada 1,000 jemaah haji dipindahkan dari hotel terbabit selepas kebakaran tercetus dalam sebuah bilik di hotel itu, menurut pihak berkuasa pertahanan awam Arab Saudi. Sekurang-kurangnya dua orang jemaah haji cedera dalam insiden itu.

“Seramai 1,028 jemaah haji Asia dipindahkan dari hotel yang terletak di Daerah Al-Azizia, Mekah,” kata jurucakap bagi Kementerian Pertahanan Awam Arab Saudi, Kolonel Abdullah Al-Orabi Al-Harthy dalam satu kenyataan semalam.

Perwakilan dari Jabatan Pengurusan Haji, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Pejabat Pengurusan Haji Brunei Darussalam di Arab Saudi mengatakan semua jemaah haji dan kakitangan Brunei termasuk pegawai pengurusan haji (Bahagian Pentadbiran dan Perubatan) dan jemaah haji dari Syarikat Darussalam Holdings dan Straits Central Agencies adalah selamat.

Kejadian berlaku dalam masa beberapa hari selepas nahas kren jatuh di bandar itu Jumaat lalu, megorbankan lebih 100 jemaah haji manakala lebih 390 orang lagi cedera.

Mekah menjadi tumpuan kira-kira 1.2 juta umat Islam dari seluruh dunia yang tiba di Arab Saudi bagi mengerjakan ibadah haji tahunan yang dijadualkan bermula Isnin.

ARTIKEL YANG SAMA