Rakyat Cuba keluar mengundi

HAVANA, 13 Mac – Lebih 7.3 juta rakyat Cuba mengundi dalam pilihan raya parlimen negara itu kelmarin, yang menandakan permulaan perubahan generasi bersejarah dalam kepimpinan Cuba, lapor agensi berita China Xinhua.

Dalam sidang akhbar semalam, Presiden Suruhanjaya Pilihan Raya Kebangsaan (CEN) Alina Balseiro berkata 82.9 peratus pengundi berdaftar telah keluar mengundi dan sejumlah 605 anggota parlimen akan dipilih bagi tempoh lima tahun akan datang.

Menurut data rasmi, sebanyak 53.22 peratus badan legislatif terdiri daripada wanita, 13.22 peratus golongan muda di bawah usia 35 tahun dan 40.50 peratus adalah orang kulit hitam.

Anggota parlimen yang dipilih akan bermesyuarat pada 19 April di Havana untuk mengundi 31 ahli Dewan Negara, termasuk presidennya, naib presiden pertama, lima naib presiden, setiausaha dan ahli lain.

Seorang wanita warga emas memasukkan undi di sebuah stesen mengundi di Santa Clara, Cuba. Lebih 7.3 juta rakyat negara itu keluar mengundi dalam pilihan raya parlimen, kelmarin. – AFP

Raul Castro, Presiden Dewan Negara ketika ini, yang menggantikan mendiang abangnya, Fidel Castro, buat sementara waktu pada 2006 dan menyandang jawatan itu pada 2008, telah mengulangi bahawa beliau akan mengundurkan diri selepas sedekad berkuasa.

Miguel Diaz-Canel, yang merupakan naib presiden pertama Dewan Negara, dijangka menjadi pengganti Castro.

Diaz-Canel membuang undi pada Ahad di kawasannya, wilayah Villa Clara yang terletak di pusat bandar Cuba.

Penganalisis percaya bahawa pemilihan Diaz-Canel, seorang jurutera berusia 57 tahun, tidak akan membawa perubahan besar di Cuba kerana beliau telah mempertahankan kesinambungan politik selain mengekalkan model sosialis di negara pulau Caribbean. – Bernama