Rakyat harus beri kerjasama pastikan keselamatan negara terjamin

Rakyat harus beri kerjasama pastikan keselamatan negara terjamin

KOTA KINABALU, 17 Jan – Rakyat harus memberi kerjasama kepada pasukan keselamatan dalam memastikan keselamatan di negara ini terus terjamin, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman hari ini.

Nasihatnya itu susulan insiden pengeboman di sebuah pusat membeli-belah di ibu negara Indonesia pada Khamis lepas.

“Kami rasa sedih dan kesal dengan apa berlaku di Indonesia,” katanya kepada pemberita selepas menyertai ujian kemahiran menembak bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah di Lapang Sasar Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri di sini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar bahawa PDRM telah meningkatkan amaran keselamatan negara ke tahap paling tinggi susulan kejadian di Jakarta itu.

Musa juga berkata beliau meminta Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abd Rashid Harun supaya memastikan keselamatan setiap kawasan di negeri ini terkawal dan terjaga.

“(Bagaimanapun), seharusnya wujud kerjasama antara semua pihak supaya memastikan keselamatan kita terkawal dan terjaga,” tambahnya.

Sementara itu, Abd Rashid berkata PDRM Sabah meningkatkan semua usaha bagi memastikan keadaan keselamatan di seluruh negeri, termasuk di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone), adalah terjamin. – Bernama