Rakyat Korea S berisiko diculik oleh Pyongyang

Rakyat Korea S berisiko diculik oleh Pyongyang

SEOUL, 2 Mei (AFP) – Korea Selatan mengingatkan hari ini timbulnya risiko rakyatnya akan diculik oleh Pyongyang sebagai tindakan balas terhadap pembelotan berpuluh kakitangan Korea Utara di sebuah restoran di China.

Dua belas wanita yang bekerja di restoran di timur bandar China Ningbo membelot ke Selatan bersama pengurus mereka pada bulan lalu. Seoul berkata mereka datang secara suka rela sementara Utara menegaskan mereka diperdaya untuk membelot oleh pengintip Korea Selatan yang “menculik” mereka.

Kementerian Penyatuan Selatan, yang mengendali hal ehwal antara Korea, berkata misi luar negara telahpun dinasihatkan supaya mempertingkat langkah berjaga-jaga mereka.

“Kami sedang meninjau pelbagai kemungkinan, termasuk penculikan atau keganasan oleh Utara,” kata jurucakap kementerian Jeong Joon-Hee. “Kami cuba menjamin keselamatan rakyat kami,” beritahunya kepada wartawan.

Akhbar Seoul Hankook Ilbo melaporkan hari ini bahawa Pyongyang sedang berkomplot untuk menculik warga Korea Selatan untuk ditukar dengan 13 pembelot berkenaan. “Mereka menetapkan sasaran 120 orang termasuk ekspatriat, tentera dan pegawai,” kata akhbar, memetik satu sumber rasmi yang rapat dengan hal ehwal Korea Utara.

Hampir 30,000 warga Korea Utara, dalam tempoh beberapa dekad, melarikan diri daripada kemiskinan dan penindasan di tempat sendiri untuk tinggal di Selatan. Namun pembelotan kumpulan jarang berlaku, terutamanya oleh kakitangan restoran luar negara yang pada lazimnya dipilih daripada keluarga yang “setia” kepada rejim.

Pyongyang telah bercadang untuk menghantar ibu bapa wanita ke Seoul untuk bertemu dengan anak perempuan mereka dan telah mengeluarkan satu video yang menunjukkan ibu bapa menuntut anak perempuan mereka dihantar pulang. Korea Utara mempunyai rekod apabila ia membabitkan isu penculikan.

Pada 2002, Korea Utara mengaku ia telah menculik 13 warga Jepun pada tahun 1970 dan 1980 untuk melatih pengintipnya dalam bahasa dan adat Jepun.

ARTIKEL YANG SAMA