Rakyat Malaysia lebih minat beli kenderaan baharu

Rakyat Malaysia lebih minat beli kenderaan baharu

KUANTAN, 21 Okt – Rakyat Malaysia lebih berminat membeli kenderaan Mercedes-Benz baharu, berbanding memiliki yang terpakai, sekaligus menyumbang kepada pertumbuhan jualan baharu sebanyak 15 peratus sejak tiga tahun lepas.

Naib Presiden Kenderaan Perdagangan Mercedes-Benz Malaysia, Albert Yee berkata ia merupakan aliran baharu di Malaysia, memandangkan dengan membeli seperti kenderaan perdagangan, pelanggan boleh menikmati jaminan selama dua tahun serta setahun manfaat perjalanan tanpa had.

Beliau memberi jaminan Mercedes-Benz Malaysia tidak akan meningkatkan harga kenderaan perdagangannya dalam jangka pendek, meskipun ringgit menyusut, memandangkan syarikat mempunyai pendekatan kewangan bagi mengawal pertambahan kos operasi.

Beliau berkata kepada pemberita selepas lawatan ke kilang pemasangan bagi menyaksikan pengeluaran keluar kenderaan perdagangan ke-25,000 dari jalur pemasangan, di sini hari ini.

Mengenai jualan kenderaan perdagangan, beliau yakin ia akan melebihi 200 juta unit tahun ini memandangkan setakat ini pembuat kenderaan berpangkalan di Jerman itu telah menjual 142 juta unit.

“Ia melebihi daripada sasaran jualan kami,” katanya.

Yee tidak menolak kemungkinan Mercedes-Benz Malaysia akan meningkatkan kapasiti pengeluaran kilang di Pekan, Pahang jika permintaan pasaran terus bertambah.

Sementara itu, Naib Presiden Pengeluaran Mercedes-Benz Malaysia, Ingbert Grombach, berkata syarikat itu melabur lebih daripada RM28 juta bagi kenderaan perdagangan sejak kilang pemasangan itu diwujudkan pada 2004.

“Lebih banyak kenderaan perdagangan akan dikeluarkan jika permintaan pasaran meningkat,” katanya kepada pemberita semasa lawatan ke kilang itu. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA