Rakyat Malaysia ‘memilih’ dalam membaca

Rakyat Malaysia ‘memilih’ dalam membaca

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) – Sikap ‘memilih’ bahan bacaan atau membaca mengikut keperluan sahaja dilihat menjadi budaya rakyat Malaysia terutama generasi muda, kata pensyarah Jabatan Pendidikan Bahasa dan Literasi, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya Prof Dr Abdul Jalil Othman.

Beliau berkata budaya memilih bahan bacaan tertentu tanpa berminat untuk membaca bahan ilmiah lain bakal merencatkan usaha menyemai semangat suka membaca sebagaimana masyarakat di Jepun dan Perancis yang menjadikan budaya membaca sebagai ‘santapan jiwa’ yang wajib dilaksanakan.

“Tidak salah sekiranya seseorang itu minat membaca komik misalnya, tetapi cuba untuk baca bahan bacaan lain seperti surat khabar agar keupayaan kita untuk berfikir secara meluas dan kritikal tidak terbatas,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Mengikut laporan statistik Perpustakaan Negara pada tahun 2010, purata buku yang dibaca oleh seorang rakyat Malaysia hanyalah dua hingga lapan buku setahun.

Mengulas lanjut, Abdul Jalil berkata sikap suka membaca yang lemah, bahan bacaan yang tidak relevan, dan persekitaran yang tidak sesuai dilihat antara penyumbang utama kepada kegagalan dalam melahirkan masyarakat Malaysia sebagai pembaca tegar.

“Faktor-faktor asas ini haruslah diambil kira secara serius agar segala kekangan dan kekurangan serta permasalahan dalam mewujudkan masyarakat pembaca dapat diatasi segera.

“Jika daripada awal masyarakat kita terdiri daripada masyarakat pembaca tegar dan mempunyai pembangunan minda yang kukuh, mereka akan berupaya menilai dan menyaring terlebih dahulu lambakan informasi terutamanya dari media sosial, sebelum diterima kesahihannya,” ujar Abdul Jalil.

Menjawab pertanyaan mengenai persepsi ‘ulat buku’ atau pandangan pelik yang diberikan oleh sesetengah masyarakat apabila terlihat individu sedang membaca di tempat awam, beliau berkata, persepsi itu boleh diubah jika kesedaran terhadap amalan suka membaca dipertingkatkan.

“Masyarakat sekeliling memandang hairan kerana kesedaran membaca mereka masih lagi di tahap rendah dan saya amat berharap agar pada suatu masa nanti kita akan dapat mengubah persepsi masyarakat supaya memandang tinggi orang yang membaca di tempat-tempat awam seperti di dalam tren, bas dan sebagainya,” ujarnya.