Rakyat Malaysia paling banyak berhutang di Asia

Rakyat Malaysia paling banyak berhutang di Asia

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) – Kaji selidik oleh Manulife menunjukkan bahawa 68 peratus daripada rakyat Malaysia berhutang, kadar tertinggi dalam kalangan lapan pasaran yang ditinjau di Asia, dan lebih dua kali ganda purata serantau sebanyak 33 peratus.

Kaji selidik Indeks Sentimen Pelabur Manulife itu adalah berasaskan 500 temu bual di Hong Kong, China, Taiwan, Jepun, Singapura, Malaysia, Filipina dan Indonesia.

Dalam satu kenyataan, Manulife berkata purata hutang rakyat Malaysia ialah sebanyak RM56,000 iaitu hampir 10 kali purata pendapatan peribadi bulanan, sebahagian besarnya disebabkan oleh perbelanjaan hidup harian (60 peratus), dengan bayaran sewa (44 peratus) dan pendidikan anak-anak (37 peratus).

“Kebanyakan hutang itu adalah jangka panjang, dengan satu perempat daripada mereka yang berhutang tidak dapat membayarnya selama tiga tahun atau lebih.

“Paras hutang yang tinggi mencerminkan pengurusan kewangan yang lemah, dan gagal mengurus aliran tunai dengan berkesan,” katanya.

Sejumlah 89 peratus daripada responden Malaysia yang dikaji selidik memantau perbelanjaan mereka secara tetap, 44 peratus membelanjakan 70 peratus atau lebih daripada pendapatan bulanan mereka setiap bulan, yang menunjukkan mereka tidak memantau perbelanjaan untuk berjimat.

Ketua Pegawai Eksekutif Manulife Holdings Bhd Group Mark O ‘Dell berkata pelabur perlu mengurus kewangan mereka dan mengesan perbelanjaan bagi menghalang mereka daripada menanggung hutang yang terlalu banyak, terutama ketika pasaran kewangan yang tidak menentu dan pertumbuhan ekonomi yang perlahan.

“Tanpa pengurusan hutang yang berkesan, rakyat Malaysia kurang cenderung untuk mencapai matlamat simpanan jangka panjang, yang boleh menjejaskan jaminan kewangan masa depan mereka,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA