Rakyat M’sia elak pergi jauh ekoran penyusutan RM

Rakyat M’sia elak pergi jauh ekoran penyusutan RM

JOHOR BAHARU, 25 Jun (Bernama) – Penyusutan nilai mata wang ringgit (RM) akan menyebabkan rakyat mengelak untuk melancong ke destinasi jauh yang mempunyai nilai mata wang lebih tinggi, kata seorang ejen pelancongan hari ini.

“Jika ringgit masih lemah, orang akan memilih untuk pergi ke destinasi yang dekat seperti Timur Tengah dan Asia Tenggara, bukannya Eropah.

“Ini kerana di semua destinasi dekat itu, rakyat masih boleh berbelanja tinggi disebabkan kita mendominasi nilai mata wang negara berkenaan,” kata Bekas Pengerusi Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Cawangan Johor, Kenny Ngi.

Kenny yang ditemui pada pameran MATTA Johor 2015, hari ini berkata, untuk jangka masa panjang, ringgit bagaimanapun harus kembali kepada paras yang memberangsangkan, sebaiknya pada penghujung tahun ini.

“Jika tidak, terdapat kekhuatiran agensi pelancongan di negara ini akan mula mengalami kerugian disebabkan rakyat tidak cenderung melawat ke negara yang mempunyai nilai mata wang tinggi,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA