Rakyat M’sia tidak punyai tabungan yang cukup

Rakyat M’sia tidak punyai tabungan yang cukup

KUALA LUMPUR, 29 Jan – Hutang yang banyak dan tabungan yang rendah merupakan antara sebab utama rakyat Malaysia tidak boleh bersara.

Laporan oleh HSBC menyebut 91 peratus rakyat Malaysia berusia 45 dan ke atas, yang mahu besara dalam tempoh lima tahun akan datang, tidak dapat berbuat demikian disebabkan kekangan kewangan.

Ketua Pengurusan Kekayaan HSBC Malaysia Lim Eng Seong yang memetik laporan itu berkata lebih 18,000 orang dari 17 negara, termasuk 1,105 rakyat Malaysia, menyertai tinjauan dua bulan itu.

Peserta kajian menyatakan mereka tidak mempunyai simpanan yang mencukupi kerana bergantung semata-mata ke atas pendapatan, selain hutang pinjaman perumahan.

Mereka berkata bil kesihatan dan yuran pendidikan anak-anak sebagai sebab utama mereka tidak mempunyai tabungan yang mencukupi untuk bersara, katanya pada taklimat mengenai masa depan persaraan di sini hari ini. Sejumlah 69 peratus rakyat Malaysia yang berusia 45 dan ke atas, mahu bersara dalam tempoh lima tahun akan datang jika keadaan mengizinkan, kata Lim.

“Walaupun tekanan kewangan tinggi, hanya 13 peratus bakal pesara di negara ini menjangkakan mereka tidak akan dapat bersara sepenuhnya.

Lim juga berkata selain caruman 11 peratus kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, mereka perlu menambung jumlah tambahan.

“Ia juga bergantung kepada individu berdasarkan gaya hidup dan cara menabung untuk hidup selesa setelah bersara,” katanya dan menambah lebih awal mereka menabung, lebih baik lagi kedudukan mereka.

Lim berkata memandangkan ramai yang bimbang mereka tidak mampu untuk bersara sepenuhnya, perancangan kewangan yang kukuh perlu dilakukan.

“Rakyat Malaysia perlu menimbang aspirasi ini semasa merancang persaraan mereka bagi memastikan kedudukan kewangan yang stabil dalam alam persaraan. “Dengan hanya tabungan kecil hari ini, mereka mampu meletakkan asas yang kukuh untuk persaraan masing-masing,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA