Rakyat perlu sehati sejiwa

Rakyat perlu sehati sejiwa

TAWAU, 5 Ogos – Kemerdekaan yang dikecapi negara ketika ini boleh tergugat jika seluruh lapisan rakyat terus lalai dan alpa serta tidak bersatu hati untuk bersama-sama berusaha mempertahankannya, kata Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.

Tawfiq berkata menuntut kemerdekaan merupakan satu perkara yang sukar, namun, untuk mempertahankan kemerdekaan itu adalah lebih sukar dan memerlukan kerjasama daripada semua rakyat untuk terus sehati sejiwa memelihara keharmonian negara.

“Kita tidak akan dapat menikmati kemerdekaan selama-lamanya jika kita tidak menjaga kemerdekaan itu. Jika kita terus lalai dan alpa, kemungkinan kemerdekaan negara boleh kembali tergugat dan dirampas oleh orang lain,” katanya sebelum melepaskan peserta Konvoi Kembara Super Bikers di sini hari ini.

Konvoi Kembara Super Bikers itu merupakan siri kedua jelajah anjuran Jabatan Penerangan sempena Hari Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat kebangsaan 2016 yang dijadualkan berlangsung malam esok, di sini.

Konvoi menggunakan motosikal berkuasa besar disertai 22 belia Tawau itu diketuai Ketua Pengarah Penerangan Datuk Ibrahim Abdul Rahman yang menjelajah Kunak, Semporna serta Tawau bagi membawa misi patriotisme dan mengedarkan Jalur Gemilang.

Mengulas lanjut, Tawfiq mahu seluruh rakyat Malaysia menjadikan insiden pencerobohan kumpulan militan Filipina di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 2013 sebagai iktibar untuk terus mempertahan keamanan dan kedaulatan negara ini.

Tawfiq berkata peristiwa hitam itu perlu terus diingati dan disemat dalam sanubari rakyat terutama generasi muda tentang betapa pentingnya menyemai semangat nasionalisme dan jati diri tinggi agar kemerdekaan negara terus dipelihara dan tidak mudah diganggu-gugat oleh orang lain.

Di samping itu, beliau juga mahu rakyat Malaysia yang berbilang bangsa terus memperkukuh perpaduan kaum selain mengelakkan diri daripada terpengaruh dengan mana-mana pihak yang menyebarkan dakyah negatif yang boleh menimbulkan perasaan kebencian antara satu sama lain. – Bernama