Rakyat Sarawak dinasihat tidak terpengaruh dengan propaganda pembangkang

Rakyat Sarawak dinasihat tidak terpengaruh dengan propaganda pembangkang

SIBU, 18 Jan – Rakyat Sarawak diingatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan retorik dan propaganda pemimpin parti pembangkang dari Semenanjung menjelang Pilihan Raya Negeri ke-11 akan datang.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Sarawak Datuk Seri Wong Soon Koh berkata pemimpin pembangkang berkenaan mendakwa kedatangan mereka ke negeri ini kononnya untuk membawa perubahan dan rakyat perlu memberikan sokongan mereka.

Beliau berkata rakyat perlu menyedari bahawa hanya perubahan dibawa kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem yang perlu disokong kerana dilakukan secara sistematik di seluruh negeri termasuk di luar bandar.

“Jangan percaya atau jangan biarkan kita dikelirukan bahawa kita perlu menerima perubahan. Ya, memang kita perlukan perubahan tetapi perubahan itu mesti datang secara sistematik daripada kerajaan negeri seperti mana sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menutup Program Sejiwa Senada peringkat bahagian Sibu di sini malam tadi.

Wong berkata perubahan juga mesti diketuai oleh pemimpin berpengalaman (seperti Adenan) dan bukannya oleh pemimpin yang hanya berangan-angan untuk mencapai kepentingan peribadi.

Beliau berkata Sarawak tidak memerlukan budaya politik yang dibawa oleh pemimpin-pemimpin parti pembangkang dari Semenanjung.

Katanya rakyat negeri itu perlu memberi sokongan padu kepada Adenan bagi membolehkan beliau menerajui dan meneruskan perubahan dan agenda pembangunan yang telah dirancang untuk manfaat rakyat. – Bernama