Rakyat S’pura buat penentuan

Rakyat S’pura buat penentuan

SINGAPURA, 11 Sept – Lebih dua juta warga Singapura telah menunaikan kewajipan untuk membuang undi di 832 pusat mengundi serata negara dalam pilihan raya bersejarah yang menyaksikan kebanyakan kerusi hangat dipertandingkan sejak negara pulau itu mencapai kemerdekaannya 50 tahun lalu.

Pilihan raya hari ini adalah yang ke-12 sejak merdeka dan yang paling sengit bagi merebut hak mentadbir negara yang dikuasai Parti Tindakan Rakyat (PAP) sejak 1959.

Pusat-pusat mengundi dibuka selama 12 jam sehingga 8.00 malam selepas kempen sengit di mana parti-parti pembangkang berusaha gigih untuk memecahkan penguasaan PAP selama ini.

Buat julung-julung kali, kesemua 89 kerusi menjadi rebutan calon yang bertanding. Jadi, taruhannya amat besar sekali.

Parti pemerintah dan pembangkang umumnya akur agenda pilihan raya bakal mencorak masa depan negara walaupun perspektif mereka berbeza.

Lee Hsien Loong (depan) bersama isterinya Ho Ching meninggalkan pusat mengundi selepas membuang undi untuk pilihan raya umum Singapura petang tadi. – AFP
Lee Hsien Loong (depan) bersama isterinya Ho Ching meninggalkan pusat mengundi selepas membuang undi untuk pilihan raya umum Singapura petang tadi. – AFP

Bagi PAP, pilihan raya ini merupakan mercu tanda penting selepas pemergian Perdana Menteri Pengasas Lee Kuan Yew dan perayaan jubli emas Singapura.

Justeru, pilihan rakyat bakal menentukan masa depan negara, melakar hala tuju dan membentuk pucuk pimpinan baru yang akan membawa negara menjangkau SG100.

Perdana Menteri Lee Hsien Looong berharap untuk memulihkan semula kekecewaannya pada pilihan raya 2011, di mana parti PAP pimpinannya meraih 60.1 peratus undi popular, meskipun ia memenangi 81 daripada 89 kerusi yang dipertandingkan.