Rakyat terlibat IS dikenakan tindakan undang-undang jika pulang

Rakyat terlibat IS dikenakan tindakan undang-undang jika pulang

ROMPIN, 1 Mei (Bernama) – Rakyat Malaysia yang terlibat dengan kumpulan militan IS di Syria yang berhasrat pulang ke Malaysia, akan dikenakan tindakan undang-undang, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata tindakan itu sebagai langkah pencegahan kerana pengalaman mereka bersama kumpulan militan dikhuatiri boleh menjejaskan keselamatan negara.

Menurutnya daripada 75 rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan militan itu, seramai 10 orang disahkan meninggal dunia manakala bakinya menyatakan kesal dengan penglibatan mereka.

“Mereka ini kata kesal dan mahu pulang ke Malaysia,” katanya semasa berucap merasmikan Program Bakti Rela bersama 3,500 anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) Rompin di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay berkata 63 rakyat Malaysia telah menyatakan hasrat untuk pulang ke negara selepas berasa tertipu dengan dakyah berjihad kumpulan militan itu.

Ahmad Zahid menegaskan adalah penting bagi Malaysia mempunyai undang-undang seperti Undang-undang Pencegahan Keganasan (POTA) untuk mengekang anasir yang mengugat ketenteraman negara.

Ketika diminta mengulas perhimpunan membantah pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) di Kuala Lumpur hari ini, Ahmad Zahid berkata beliau yakin polis tidak terjebak dengan provokasi peserta perhimpunan itu.

“Saya yakin demonstrasi di Kuala Lumpur telah dirancang dengan awal…dan saya tidak mahu lihat adanya ‘engagement’ (tindak balas fizikal) antara peserta perhimpunan dan pihak polis,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA