Rakyat terus dibela – Musa

KOTA KINABALU, 13 Feb – Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman berkata kerajaan sentiasa berusaha dan mencari jalan untuk melakukan apa sahaja yang terbaik untuk memastikan seluruh rakyat di negara ini dapat dibela.

Beliau berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah mengabaikan rakyat, malahan terus mempertingkat usaha untuk membantu rakyat di negara ini.

“Inilah hasrat murni kerajaan yang sentiasa komited untuk melihat rakyat sentiasa senang. Kerajaan sentiasa menyediakan pelbagai kemudahan untuk membantu usahawan tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap ketika merasmikan majlis penyerahan motosikal kepada peserta Program Usahawan Bergerak atau MobilePreneur@KKLW di sini hari ini.

Musa berkata program itu merupakan satu daripada usaha kerajaan untuk melihat usahawan muda di negara ini berjaya.

“Kita dalam usaha untuk membangunkan sosioekonomi rakyat ke tahap yang lebih tinggi. Melalui program ini, para peserta dapat memajukan perniagaan mereka secara berperingkat sehingga mampu membuka kedai sendiri pada masa hadapan. – Bernama