Rakyat tidak jaga kesihatan bazirkan negara – Tawfiq

Rakyat tidak jaga kesihatan bazirkan negara – Tawfiq

KOTA KINABALU, 6 Okt (Bernama) – Rakyat yang lalai terhadap penjagaan kesihatan diri dianggap sebagai membazir sumber negara, kata Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.

Beliau berkata sehubungan itu rakyat dianggap sebagai menyumbang kepada kemajuan diri, keluarga dan negara jika mereka sentiasa mengambil berat tentang kesihatan diri mereka.

“Datuk Lee Chong Wei (jaguh badminton negara) dan Datuk Nicol David (jaguh skuasy negara) merupakan rakyat contoh yang mampu bersaing dengan atlet yang jauh lebih muda daripada mereka.

“Kedua-dua atlet ini membuktikan bahawa walaupun usia mereka meningkat, namun ia tidak menjadi faktor kepada kemerosotan daya kompetitif mereka, dengan syarat mereka harus mempunyai disiplin dan mengamalkan gaya hidup sihat sepanjang masa,” katanya.

Beliau berucap semasa merasmikan seminar ‘Membudayakan Gaya Hidup Sihat Dalam Kalangan Penjawat Awam’ di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) Sabah dekat sini.