Raline Shah dilantik Pengarah AirAsia Indonesia

KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tony Fernandes mengumumkan syarikat penerbangan tersebut melantik pelakon Raline Shah sebagai pengarah baharu PT AirAsia Indonesia.

Menurut laporan dipetik dari The Star, pengumuman tersebut dibuat menerusi akaun Instagramnya baru-baru ini dengan memuat naik foto bersama pelakon tersebut.

“Pengarah baru di AirAsia Indonesia @ralineshah. Bijak kreatif rendah diri. Jawatan yang sudah bersedia untuk syarikat kami di IPO,” tulis Tony.

Namun begitu, Tony tidak menyatakan posisi jawatan sebenar yang dipenuhi Raline.

Wakil dari AirAsia Indonesia, Baskoro Adiwiyono juga tidak memberi maklum balas terhadap persoalan tentang pelantikan pelakon wanita itu.

Raline Shah dilantik sebagai pengarah baru PT AirAsia Indonesia.
Raline Shah dilantik sebagai pengarah baru PT AirAsia Indonesia.

Raline dilahirkan di Jakarta pada 4 Mac 1984 dan menetap di Medan, Sumatera Utara, Indonesia.

Dia merupakan pelakon dan model terkenal.

Kehadirannya mula disedari sejak memasuki pertandingan Putri Indonesia pada tahun 2008 dan memenangi anugerah peserta paling digemari.

Antara filem yang dibintangi Raline ialah 5 CM, 99 Cahaya Di Langit Eropa, Supernova dan terbaru Surga Yang Tidak Dirindukan 2 yang ditayangkan pada awal tahun ini.

Wanita berusia 33 tahun ini telah menamatkan pelajaran di National University of Singapore dalam jurusan Ijazah Muda Sastera Sains Politik.

Syarikat penerbangan Malaysia ini merancang untuk menggabungkan perniagaan di seluruh Asia Tenggara.