Ramadan buka pintu rezeki

Ramadan buka pintu rezeki

Oleh Salawati Haji Yahya,

Hajah Saemah Kepli & Normazlina M.D

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Jun – Bulan Ramadan bukan sahaja menjanjikan pahala yang berlipat kali ganda bagi setiap amal ibadat yang dilakukan, malah membukakan pintu rezeki seluas-luasnya kepada mereka yang ingin mencari rezeki khususnya bagi para peniaga dan penjaja.

Di negara ini, setiap kali datangnya bulan Ramadan, gerai-gerai Ramadan yang menjual pelbagai juadah berbuka puasa tumbuh bak cendawan selepas hujan dan akan menjadi tumpuan orang ramai yang mencari juadah bersungkai terutamanya pada hari pertama umat Islam di negara ini berpuasa, hari ini.

Wartawan-wartawan Media Permata berkesempatan meninjau beberapa gerai Ramadan di Daerah Brunei dan Muara, Tutong dan Belait, di mana kelihatan ramai orang membeli juadah bersungkai untuk dinikmati bersama keluarga.

Bagi Daerah Brunei dan Muara, terdapat tiga gerai Ramadan yang menjadi tumpuan orang ramai iaitu kawasan letak kereta Bangunan Alat-alat Kebesaran Diraja, Pasar Gadong dan kawasan letak kereta Stadium Negara Hassanal Bolkiah.

Selain di tempat-tempat yang telah disediakan, gerai-gerai Ramadan turut didirikan di tepi-tepi jalan dan kawasan kampung.

Antara belia-belia yang berjaja di Gerai Ramadan Belia di kawasan letak kereta Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.
Antara belia-belia yang berjaja di Gerai Ramadan Belia di kawasan letak kereta Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Dalam tinjauan media ke beberapa lokasi gerai Ramadan di Berakas hari ini mendapati, walaupun beberapa lokasi gerai Ramadan telah disediakan, gerai yang diadakan di kawasan kampung tetap mendapat sambutan.

Beberapa pengunjung yang ditemui berkata, dengan adanya gerai yang diadakan di kawasan perkampungan ini memberi kemudahan kepada penduduk kampung dan orang ramai membuat pelbagai pilihan juadah berbuka dan secara tidak langsung memberi peluang kepada peniaga kecil untuk menambah rezeki mereka.

Haji Daud bin Haji Tinggal yang ditemui di gerai Ramadan warisan berkata, dalam sibuk mencari rezeki, beliau berharap pihak peniaga dapat memastikan makanan, kuih-muih dan lauk pauk yang dijual adalah halal dan baik seperti bahan kandungan yang digunakan halal di sisi syarak, berkhasiat, berzat dan tidak membawa mudarat.

“Selain itu, peniaga juga perlu memastikan gerai-gerai jualan dan tempat perniagaan mereka sentiasa dalam keadaan bersih dan bebas daripada perkara-perkara yang boleh memudaratkan kesihatan”, tambahnya.

Di Daerah Tutong pula, Jabatan Daerah Tutong buat pertama kalinya mengendalikan Gerai Ramadan Daerah Tutong yang diadakan di kawasan berhadapan dengan Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Tutong.

Di samping itu, gera-gerai Ramadan juga disediakan di beberapa buah mukim bagi kemudahan penduduk-penduduk kampung sekitar seperti Gerai Kampung Kupang, luar kawasan Dewan Kemasyarakatan Mukim Telisai (di Perpindahan Bukit Beruang) dan Gerai Kampung Telisai.

Salah satu petak di Gerai Ramadan di kawasan Tudung Saji, Kuala Belait.
Salah satu petak di Gerai Ramadan di kawasan Tudung Saji, Kuala Belait.

Manakala itu, bagi Daerah Belait, Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria telah menyediakan gerai Ramadan di Tudung Saji Jalan Setia Diraja di mana sebanyak 212 permohonan perniagaan diterima dan perkarangan Pasarneka Lorong Tiga Seria sebanyak 30 permohonan.

Beberapa orang pengunjung yang sempat ditanya mengenai keperluan yang sering dicari di gerai Ramadan, memberitahu bahawa mereka lebih menjurus untuk mencari beberapa jenis makanan dan minuman.

Tetapi pada tahun ini ramai dalam kalangan pengunjung juga menyatakan hanya membeli sekadarnya untuk mengelakkan daripada pembaziran, yang mana makanan tidak habis dimakan semasa bersungkai.

Seperti tahun-tahun yang sudah, gerai Ramadan tahun ini juga menampilkan peniaga-peniaga muda yang mengetengahkan jualan mereka, termasuk mereka yang sudah dikenali melalui jualan tempahan atas talian.

Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria, bagaimanapun terus mengingatkan kepada orang ramai terutama sekali para peniaga di gerai berkenaan untuk sentiasa menjaga kebersihan persekitaran dan membuang sampah sarap di tempat yang telah disediakan selain menyediakan makanan bersih dan sihat.