Ramadan bukan alasan ‘bermalas-malas’

Ramadan bukan alasan ‘bermalas-malas’

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Jun – Umat Islam diingatkan supaya tidak mengabaikan perkara-perkara asasi seperti kerja-kerja pejabat di dalam keterujaan membanyakkan amal ibadat sama ada pada waktu malam ataupun siang.

“Memang tidak dinafikan bahawa dengan berpuasa sedikit sebanyak akan mengurangkan tenaga tubuh badan kita disebabkan tidak makan dan minum pada siang hari.

“Namun, ini bukanlah alasan untuk bersikap tidak proaktif, bermalas-malas dan menghabiskan masa dengan banyak tidur, melakukan aktiviti-aktiviti yang melalaikan dan sia-sia seperti bermain game dan menonton program-program hiburan sepanjang hari agar tidak terasa letih menjalani puasa,” tegas Khatib dalam Khutbah Jumaatnya hari ini.

Menurut Khatib, kajian saintifik menemukan keputusan positif mengenai puasa dan hikmah disebalik puasa itu sendiri. Antaranya, kajian biologi mendapati otak tidak dapat berfungsi dengan baik ketika perut dan usus melakukan proses penjanaan kerana tenaga dan pengaliran darah tertumpu kepada kerja-kerja penghadaman makanan.

“Apabila kita makan sampai terlalu kenyang, otak akan menjadi lemah berfikir dan mata pun akan rasa mengantuk serta badan akan menjadi malas.

“Ketika berpuasa, tenaga dan pengaliran darah tertumpu kepada otak. Ini menjadikan otak dapat bekerja dengan lancar dan memberi peluang kepada diri kita untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti yang menggunakan mental dan fizikal yang berkesan,” ujar Khatib

Menurut Khatib lagi, tidak dinafikan apabila Ramadan tiba, peniaga akan mengambil peluang untuk mendapatkan pendapatan yang lebih. Namun bagi umat Islam yang sedang berpuasa, janganlah terlalu ghairah merebut peluang untuk mendapat keuntungan pendapatan sehingga mensia-siakan peluang yang ada untuk mendapat ganjaran pahala yang berganda-ganda.

Katanya, dalam perniagaan ada adab dan batasannya dan umat Islam diseru agar tidak meninggalkan sembahyang hanya kerana terlalu sibuk, bercakap, berhubung atau menipu demi melariskan barangan jualan.

Sesungguhnya ibadat puasa di bulan Ramadan merupakan salah satu rukun Islam yang wajib ditunaikan. Umat Islam hendaklah menjaga dan memelihara kesempurnaannya agar diterima oleh Allah Subhanahu Wataala.

Oleh itu, umat Islam yang berpuasa hendaklah sentiasa berusaha untuk mendapatkan kesempurnaan ini dengan menghindari dan mengelak dari melakukan sebarang kesalahan atau kesilapan yang boleh menjejaskan ibadat puasa, tegas Khatib.

ARTIKEL YANG SAMA