Ramadan di perantauan

Ramadan di perantauan

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Jun – Kira-kira 140 orang Islam yang berada di Southampton, United Kingdom bersama ahli-ahli Persatuan Islam dan pelajar-pelajar di Universiti Southampton termasuk pelajar Negara Brunei Darussalam berbuka puasa bersama-sama setiap hari untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan warga Islam yang menyambut keberkatan bulan Ramadan.

Pada tahun ini, pelajar Brunei, Haji Mohammad Amir Rabbani bin Haji Rosli bersama rakan-rakannya yang lain di Universiti tersebut, diberikan tanggungjawab untuk menguruskan aktiviti berbuka puasa dan tarawih untuk pelajar Islam dan kakitangan beragama Islam di universiti berkenaan.

Dalam temu bual melalui e-mel bersama Media Permata, beliau menjelaskan, sebagai acara tahunan, warga Islam akan berkumpul di surau sementara menunggu waktu berbuka puasa dan selalunya akan mengedarkan makanan untuk orang yang beragama Islam secara percuma.

“Setiap hari kami akan berkumpul dan berbuka puasa bersama yang menelan belanja kira-kira 400 hingga 500 pound setiap hari dengan menggunakan kewangan yang dikumpulkan untuk dana Persatuan Islam,” jelas Haji Mohammad Amir Rabbani, 21 tahun.

Gambar ramai pelajar-pelajar di sana termasuk pelajar dari Negara Brunei Darussalam.
Gambar ramai pelajar-pelajar di sana termasuk pelajar dari Negara Brunei Darussalam.

Menurutnya, untuk menampung keperluan itu mereka akan mengutip sumbangan derma daripada mereka yang ingin menyumbangkan derma dan sebagai sebahagian aktiviti mengumpul dana, mereka akan menjual minyak wangi selepas solat Tarawih.

“Kami juga mengundang beberapa orang Al-Hafiz yang berada di kawasan ini untuk mengetuai mengimamkan solat dan kami biasanya akan membaca kira-kira satu muka surat penuh ayat-ayat suci Al-Quran setiap malam sepanjang bulan Ramadan,” ujar beliau lagi, yang merupakan pelajar tahun akhir Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal.

Selain itu, beliau juga menceritakan pengalaman berpuasa di perantauan dan berjauhan daripada keluarga.

Suasana sebelum majlis berbuka puasa.
Suasana sebelum majlis berbuka puasa.

pg05_160614_c

“Secara jujur saya katakan, ini adalah buat pertama kali berpuasa jauh dari Asia. Perbezaan masa sangat ketara. Di sini kami berpuasa bermula dalam pukul 3 pagi hingga 9:30 malam. Sangat susah untuk menempuhinya pada dua hari pertama namun Alhamdulillah, saya mula membiasakan diri dengannya.”

Walaupun begitu, hari demi hari beliau merasa semakin sunyi tanpa keluarga bersama-sama, sayu rasa beliau terkenangkan ayah beliau yang telahpun meninggal dunia tiga tahun yang lalu.

“Di beberapa minit terakhir menantikan berbuka puasa, mengingatkan saya bunyi baduk di kampung halaman tambahan lagi saya kini menghitung hari untuk menamatkan pengajian saya dan sudah pasti akan merindukan sepanjang bulan Ramadan di sini dan beberapa minggu sambutan Hari Raya Aidilfitri,” jelasnya lagi.

ARTIKEL YANG SAMA