Ramadan hidupkan semula Jeddah

Ramadan hidupkan semula Jeddah

RIYADH, 13 Julai (AFP) – Bandar raya Jeddah yang pernah dinobatkan sebagai pusat bersejarah dunia, tahun ini kembali meriah dengan festival kebudayaan yang berlangsung sepanjang Ramadan selain disenaraikan sebagai warisan dunia.

Tahun lalu, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) meletakkan Jeddah sebagai bandar raya warisan dunia kerana keunikan seni bina tersendiri dan menjadi laluan utama kepada jemaah Islam yang menziarahi pusat-pusat suci termasuk Mekah dan Madinah.

Tahun ini, Jeddah mengambil kesempatan dengan ketibaan bulan Ramadan untuk mengadakan semula festival kebudayaan yang bermula pada 18 Jun lalu bagi mempromosikan pelancongan di Arab Saudi dengan lebih meluas termasuk rakyatnya sendiri dan umat Islam di seluruh dunia.

Timbalan Gabenor Jeddah, Mohammed al-Wafi berkata, beliau mahu menghidupkan semula Jeddah sebagai bandar raya bersejarah selepas generasi masa kini mengabaikannya dan beberapa bangunan bersejarah telah dibaik pulih dan diubahsuai mengikut arus pemodenan.

Selain membaiki bangunan, festival Ramadan juga menyaksikan kemeriahan perniagaan dalam kalangan penduduk tempatan yang menjual barangan dan makanan tradisional, melibatkan kumpulan peniaga yang sudah mengikuti festival itu sejak 150 tahun lalu.

“Walaupun festival itu bukan kali pertama diadakan di Jeddah, tetapi tahun ini terdapat kelainan tersendiri apabila lebih 130,000 pengunjung menghadiri pasar terbuka, acara permainan dan kebudayaan, serta perbincangan sastera pada tujuh hari pertama Ramadan,” kata al-Wafi.

Artis seni dan penyair, Maha Baeshn menyifatkan festival Ramadan menyemarakkan semangatnya dan penduduk lain untuk menjaga harta mereka dengan lebih baik.

Tambahnya, kebanyakan rumah mula dihiasi dengan cantik dan dipasang dengan tingkap besar bagi membolehkan peredaran udara, sesuai dengan saranan UNESCO tentang reka bentuk dan fungsi rumah mencerminkan kesesuaian iklim tempatan dan membuktikan Jeddah sebagai pusat perdagangan dan keagamaan yang penting.

“Festival Ramadan telah menghidupkan semula rumah dan kawasan bandar ini dengan hiasan kebudayaan yang menarik,” katanya.