Ramadan Penerangan di Mukim Bokok

Ramadan Penerangan di Mukim Bokok

Oleh Ampuan Irma Susanti

 

TEMBURONG, 29 Jun – Masjid Pengiran Haji Abu Bakar, Kampung Bokok, salah sebuah masjid tumpuan di Mukim Bokok telah menjadi lokasi pilihan Program ‘Ramadan Penerangan’ di sini, baru-baru ini.

Ia merupakan aktiviti tahunan Jabatan Penerangan sejak tahun 2010 dengan destinasi pertamanya adalah di Mukim Labu.

Pengendalian program dihasratkan untuk mengimarahkan bulan Ramadan Al-Mubarak selain menjadi wadah bagi warga jabatan ini untuk meningkatkan amal ibadat mereka dengan membuat kebajikan kepada masyarakat, dalam usaha untuk menyemai ukhuwah, perpaduan dan pemedulian diantara agensi kerajaan dan masyarakat.

Acara telah diisikan dengan ceramah agama, serta bacaan tahlil dan doa arwah yang dipimpin oleh imam masjid, Haji Mohd Yusof bin Haji Ahad dan turut dihadiri Pegawai Pentadbir Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Haji Abdul Rahman bin Haji Jumat, selaku wakil Setiausaha Tetap Media dan Kabinet di Jabatan Perdana Menteri.

Bacaan tahlil dan doa arwah dipimpin oleh Haji Mohd Yusof.
Bacaan tahlil dan doa arwah dipimpin oleh Haji Mohd Yusof.
Haji Abdul Rahman menyempurnakan penyampaian derma.
Haji Abdul Rahman menyempurnakan penyampaian derma.

Beliau turut menyampaikan sumbangan derma kepada lebih 15 orang anak yatim di bawah tadahan Mukim Bokok dan juga sumbangan wakaf daripada Jabatan Penerangan, berupa alat pembesar suara kon atau ‘cone speaker’ untuk kegunaan masjid tersebut.

Acara diteruskan dengan majlis bersungkai bersama anak-anak yatim, sembahyang Maghrib dan Isyak berjemaah serta sembahyang tarawih berjemaah.

Turut hadir ialah Pemangku Pengarah Penerangan, Hajah Noorashidah binti Haji Aliomar, pegawai-pegawai kanan Jabatan Penerangan dan ahli jawatankuasa MPK Bokok dan takmir Masjid Pengiran Haji Abu Bakar Kampung Bokok.