Ramadan terus dimeriahkan dengan tadarus

Ramadan terus dimeriahkan dengan tadarus

Oleh Normazlina M.D dan Syahmi Hassan

 

TUTONG, 14 Jun – Ramadan penuh keberkatan dan pahala terus dimeriahkan dengan majlis-majlis keagamaan terutamanya majlis tadarus oleh kementerian, mukim, kampung, persatuan dan pelbagai lagi agensi dan badan-badan lain.

Hari ini, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) turut menyemarakkan lagi Ramadan dengan bertadarus di Masjid Kampung Danau Tutong yang dihadiri oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman berserta pegawai-pegawai dan kakitangan KHEU.

Turut hadir ialah ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Danau dan Majlis Perundingan Mukim dan Kampung Danau.

Majlis bertadarus turut diisikan dengan huraian tafsir Al-Quran dan kesimpulannya yang disampaikan oleh penceramah undangan lepasan pelajar Universiti Al-Azhar, Kaherah, Awang Hilman bin Haji Salim yang menjelaskan mengenai kebesaran nikmat perpaduan dan keperluan umat Islam bersepakat serta bersatu hati dalam menyeru berbuat kebaikan dan menjauhi kemungkaran.

Majlis diselajurkan dengan bacaan tahlil dan doa arwah beramai-ramai dipimpin oleh Imam Masjid Kampung Danau, Pengiran Hassan bin Pengiran Haji Ismail.

Majlis Tadarus KHEU diadakan di Masjid Kampung Danau dan dihadiri oleh Menteri Hal Ehwal Ugama.
Majlis Tadarus KHEU diadakan di Masjid Kampung Danau dan dihadiri oleh Menteri Hal Ehwal Ugama.
Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin menyampaikan Agihan Zakat Wang Tunai kepada salah seorang asnaf fakir miskin.
Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin menyampaikan Agihan Zakat Wang Tunai kepada salah seorang asnaf fakir miskin.

Manakala agihan zakat wang tunai turut diberikan kepada 20 ketua keluarga asnaf fakir miskin disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin.

Sejumlah $20,000 telah diagihkan kepada 20 orang ketua Keluarga yang mana agihan wang zakat berupa wang tunai sebanyak $500 itu diserahkan kepada setiap Ketua Keluarga dan $400 lagi kepada setiap orang yang di bawah tanggungannya.

Turut hadir di majlis itu ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; Setiausaha Tetap KHEU, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd Yusof; Timbalan Setiausaha Tetap KHEU, Awang Roslan bin Haji Taja’ah; ketua-ketua jabatan dan bahagian, pegawai-pegawai dan kakitangan KHEU.

Sementara itu, majlis tadarus Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri juga diadakan di Masjid Haji ‘Abdul ‘Azim, Kampung Luagan Dudok yang dihadiri Setiausaha Tetap KHEDN, Haji Mohd ‘Abdoh bin Dato Seri Setia Haji Abdul Salam.

Ia diteruskan dengan bacaan tahlil dan doa selamat serta penyampaian sumbangan derma kepada anak-anak yatim di Kampung Luagan Dudok.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan turut mengadakan majlis bertadarus yang diselajurkan dengan penyampaian derma kepada anak-anak yatim serta majlis sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2016 di Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Jerudong.

Menteri Kesihatan ketika menghadiri majlis tadarus berkenaan.
Menteri Kesihatan ketika menghadiri majlis tadarus berkenaan.
Yang Berhormat Dato Paduka Dr. Haji Zulkarnain menyampaikan derma kepada anak-anak yatim.
Yang Berhormat Dato Paduka Dr. Haji Zulkarnain menyampaikan derma kepada anak-anak yatim.
Antara warga Kementerian Kesihatan yang menghadiri majlis tadarus.
Antara warga Kementerian Kesihatan yang menghadiri majlis tadarus.

Hadir pada majlis itu ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Paduka Dr. Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Haji Zakaria bin Haji Serudin dan timbalan-timbalan setiausaha tetap di kementerian tersebut.

Majlis tadarus turut diisikan dengan bacaan Surah Yasin dan tahlil, diikuti dengan penyampaian derma kepada anak-anak yatim dan disudahi dengan bacaan doa selamat dan doa kesyukuran. Ia diikuti sembahyang fardu Maghrib berjemaah dan berbuka puasa.

Bagi sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2016, kementerian akan mengadakan kempen derma darah di Pusat Pendermaan Darah Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha pada 15 Jun ini.

Orang ramai dialu-alukan untuk sama-sama menderma darah pada hari tersebut.

Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan juga tidak ketinggalan bertadarus di Pusat Tingkatan Enam Tutong (PTET) hari ini yang dihadiri Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr. Haji Junaidi bin Haji Abdul Rahman yang turut memimpin bacaan Surah Al-Fatihah.

Ia juga menyaksikan penyampaian wakaf berupa dua hamparan karpet, dua hamparan sejadah panjang dan 15 buah rehal disampaikan oleh Dr. Junaidi kepada Timbalan Pengetua Pentadbiran PTET, Awang Almasri bin Haji Sulaiman.

Majlis turut dihadiri Ketua Pengarah Pendidikan Haji Abdul Rahim bin Derus; pengarah-pengarah, pengawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai, pengetua-pengetua dan guru-guru besar sekolah-sekolah di Daerah Tutong.

Dr Haji Junaidi (tengah) ketika menghadiri majlis tadarus Al-Quran di PTET.
Dr Haji Junaidi (tengah) ketika menghadiri majlis tadarus Al-Quran di PTET.
Dr Haji Junaidi menyerahkan wakaf kepada Timbalan Pengetua PTET.
Dr Haji Junaidi menyerahkan wakaf kepada Timbalan Pengetua PTET.
Dr Haji Junaidi menyerahkan wakaf kepada Timbalan Pengetua PTET.
Dr Haji Junaidi menyerahkan wakaf kepada Timbalan Pengetua PTET.

Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) juga tidak ketinggalan merebut pahala dalam bulan mulia ini dengan majlis bertadarus yang diadakan di auditorium universiti itu baru-baru ini.

Ia dihadiri Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, para pegawai, pensyarah serta kakitangan UNISSA.

Majlis tadarus itu juga diisikan dengan sesi tazkirah yang menyentuh mengenai kepentingan membaca Al-Quran dan ganjarannya yang disampaikan oleh Pensyarah Fakulti Usuluddin, Dr Sayyed Abdul Hamid Al Mahdaly.

Pembacaan tadarus UNISSA dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan setiap kumpulan mengandungi lima orang yang akan melakukan pembacaan dengan masa yang tidak terlalu panjang.

ARTIKEL YANG SAMA