Ramah mesra Aidilfitri ke rumah panjang

Ramah mesra Aidilfitri ke rumah panjang

Oleh Hajah Saemah kepli

 

KUALA BELAIT, 1 Ogos – Sebagai tanda pemedulian terhadap kebajikan kalangan mualaf khususnya yang tinggal di kawasan pedalaman, setiap tahun Pusat Dakwah Islamiah menganjurkan Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri bersama mereka yang juga bertujuan untuk mengeratkan lagi ikatan silaturahim dengan para mualaf.

Tahun ini juga tidak terkecuali, dan semalam merupakan giliran Daerah Belait di mana rombongan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah mengadakan kunjungan beramah mesra ke rumah-rumah panjang di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud.

Menyertai sama rombongan berkenaan ialah Pemangku Penolong Pengarah Pusat Dakwah Islamiah, Awang Abdul Aziz bin Haji Abdul Kahar, pegawai-pegawai dan kakitangan Pusat Dakwah Islamiah dan juga Unit Dakwah Daerah Belait.

Acara tersebut telah dimulakan dengan kunjungan rombongan ke Rumah Besar Sukang di Mukim Sukang, di mana mereka telah dialu-alukan oleh Pemangku Penghulu Mukim Sukang, Haji Mohd Noh bin Orang Kaya Dato Maharaja Setia Dian.

Rombongan KHEU mengunjungi rumah-rumah panjang di pedalaman pada Majlis Ramah Mesra Hari Raya disertai oleh Dato Paduka Haji Abdul Mokti.
Rombongan KHEU mengunjungi rumah-rumah panjang di pedalaman pada Majlis Ramah Mesra Hari Raya disertai oleh Dato Paduka Haji Abdul Mokti.

Selepas itu, rombongan kemudiannya telah berkunjung ke Rumah Panjang Punan yang terletak di seberang sungai, yang mempunyai 12 pintu dan hampir 70 peratus daripada penghuninya beragama Islam.

Kehadiran rombongan ke rumah panjang tersebut telah dialu-alukan oleh salah seorang penghuninya, Awang Mohd Arin bin Abdullah bagi mewakili Ketua Rumah Panjang Punan yang telah bersara, Awang Loyah anak Kaling.

Rumah Panjang Melilas merupakan yang terakhir dikunjungi oleh rombongan berkenaan, di mana mereka dialu-alukan oleh Pemangku Penghulu Mukim Melilas, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Dewa Haji Mohd Ali bin Abdullah Hitam.

Rumah Panjang Melilas mempunyai tujuh buah pintu dan hampir 90 peratus penghuninya sudah memeluk ugama Islam setakat ini.

Majlis di rumah berkenaan telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Pemangku Penghulu Mukim Melilas dan diteruskan kemudiannya dengan beberapa persembahan oleh penghuni rumah tersebut.

Di Daerah Belait, dari bulan Januari hingga Jun 2016, telah mencatatkan seramai 72 orang yang telah memeluk ugama Islam, sementara itu pada tahun lepas telah mencatatkan seramai 94 orang saudara baru, tahun 2014 mencatatkan 129 dan 2013 mencatat 123 orang.