Ramai bekas pelajar Kolej Tanjung Lobang, Miri orang penting negeri

Ramai bekas pelajar Kolej Tanjung Lobang, Miri orang penting negeri

KUCHING, 8 Nov (Bernama) – Lima puluh lapan tahun dahulu, seseorang pelajar perlu mengambil masa perjalanan lima hingga lapan hari untuk sampai ke Sekolah Menengah Kerajaan Tanjung Lobang di Miri dari rumah panjang dan kampung mereka di Betong, Kapit, Sibu, dan malah dari kawasan pedalaman Daerah Baram di Miri sendiri.

Oleh kerana jalan raya dari Kuching ke Miri belum dibina ketika itu, maka mereka hanya bergantung pada kapal kargo sebagai kaedah pengangkutan untuk ke sana.

Bagaimanapun, keadaan itu tidak menghalang kumpulan pertama pelajar Tingkatan Empat dan Tingkatan Lima untuk bersekolah di situ bagi menimba ilmu, kata Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu ketika berucap kepada mereka yang menghadiri Majlis Makan Malam Perjumpaan Semula Kolej Tanjung Lobang 2015 di sini malam tadi.

Beliau mewakili Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.

“Dedikasi, fokus dan kecintaan mendalam mereka terhadap pelajaran akhirnya menghasilkan dividen.

“Sekarang, ramai daripada mereka ini menjadi ahli politik negeri dan negara, eksekutif tertinggi di jabatan kerajaan persekutuan dan negeri, ahli profesional, pemimpin korporat dan ahli perniagaan,” kata Jabu.

Ketika berkongsi pengalaman beliau, Jabu, yang merupakan antara kumpulan pelajar perintis sekolah itu, menyebut bekas menteri persekutuan, Tan Sri Leo Moggie Irok, yang kini pengerusi Tenaga National Berhad, sebagai seorang daripada rakan sekelas beliau.

ARTIKEL YANG SAMA